PETALING JAYA: Jawatankuasa Khas yang dibentuk bagi menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki adalah tidak meyakinkan dan sekadar bersifat siasatan ‘pentadbiran’.
Justeru, satu badan bebas yang dipantau Jawatankuasa Parlimen perlu ditubuhkan segera agar siasatan berhubung dakwaan-dakwaan yang dilemparkan dapat dilakukan secara telus dan menyeluruh, dengan anggota jawatankuasa turut ditambah kepada lima berbanding tiga.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berpendapat, terdapat ‘kecacatan’ mengenai bidang kuasa jawatankuasa khas siasatan yang dibentuk kerajaan serta diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar.
Wakil rakyat Pakatan harapan (PH) itu berkata, skop siasatan jawatankuasa khas adalah terhad yang hanya membabitkan isu pemilikan saham Azam selaku Ketua Pengarah SPRM.
“Jawatankuasa khas siasatan dibentuk oleh Kabinet ada cacatnya kerana melibatkan Peguam Negara yang merupakan pendakwa raya.
“Jika hasil siasatan menunjukkan ada kesalahan jenayah, bagaimana pendakwa raya hendak menuduh Azam di mahkamah kerana dia secara peribadi terlibat dalam jawatankuasa khas siasatan?
“Saya melihat jawatankuasa khas yang dibentuk oleh PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kabinet tidak bebas dan yang meyakinkan. Ia bersifat sekadar siasatan bidang pentadbiran bukannya siasatan forensik berkenaan rasuah yang bersifat jenayah,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.

Menurutnya, jawatankuasa khas sepatutnya turut menyiasat SPRM sebagai satu agensi mencegah rasuah yang didakwa bersekongkol dengan individu-individu tertentu bagi kepentingan perniagaan.
“Ini adalah satu jenayah kolar putih dalam bidang korporat dan komersial,” katanya.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula berkata, jawatankuasa khas tersebut tidak sepatutnya dianggotai oleh mereka yang berjawatan berkepentingan dalam kerajaan Madani.
Jelasnya, ini kerana jawatan mereka adalah setara dengan kedudukan Azam sebagai KP SPRM.
“Contohnya Peguam Negara yang juga rakan kepada Azam. Bagaimana mereka nak jalankan siasatan secara telus?
“Justeru, saya mencadangkan agar satu jawatankuasa yang dianggotai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengetuai siasatan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Mohamad Akmal Saleh berkata, Azam perlu direhatkan sepanjang siasatan dilakukan terhadapnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin turut menggesa, satu jawatankuasa bebas yang dipantau Parlimen ditubuhkan bagi memastikan siasatan secara telus dapat dijalankan terhadap dakwaan-dakwaan yang terpalit dengan KP SPRM.
“Apabila timbul dakwaan-dakwaan sebegini dilemparkan, ia agak serius dan kita rasakan bahawa perlu ada siasatan dijalankan malah KP SPRM wajib direhatkan.
“Kita berpandangan memang perlu ada satu badan bebas untuk menyiasat supaya kita dapat keputusan dengan lebih jelas untuk dibuktikan kepada rakyat.
“Bukan kita nak menuduh tetapi kadang-kadang apabila ada tuduhan-tuduhan ini namun tidak dapat dibuktikan kesahihannya, ia menjadi masalah bagi kita,” katanya.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berpendapat, Jawatankuasa Pilihan Parlimen perlu memanggil SPRM bagi mendapatkan penjelasan berkaitan dakwaan-dakwaan terbabit.
“Ini penting supaya siasatan bebas dapat dilakukan dan bagi Bersih, Azam perlu berehat sementara menanti siasatan,” katanya.
Media kelmarin melaporkan kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan KP SPRM.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Anwar dan jawatankuasa khas itu akan diketuai Peguam Negara.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bloomberg turut mendakwa SPRM termasuk pegawai atasan suruhanjaya itu, bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam beberapa tindakan untuk menyingkirkan pesaing dan mengambil alih syarikat secara paksa.
Bagaimanapun, Azam menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut proses. – MINGGUAN










