KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) menegaskan bahawa Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) perlu memainkan peranan memperjelaskan isu tanah adat yang sering dikaitkan dengan masyarakat Orang Asli setiap kali berlaku penerokaan tanah.
Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir, berkata, kekeliruan timbul apabila ada pihak mendakwa kawasan diterokai adalah tanah adat atau tanah nenek moyang Orang Asli, sedangkan hak menduduki tanah hanya wujud melalui pewartaan sah di bawah Akta Orang Asli 1954.
“JAKOA perlu tampil memberikan penerangan jelas kepada masyarakat tentang lokasi sebenar tanah adat Orang Asli dan kriteria yang menjadikan sesuatu kawasan itu diwartakan sebagai tanah adat. Penjelasan ini penting supaya tidak timbul salah faham dan dakwaan yang tidak berasas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilaporkan bertitah, tiada istilah tanah adat atau tanah warisan yang memberikan hak menduduki secara bebas oleh mana-mana pihak di negeri ini.
Sultan Pahang bertitah, hak menduduki tanah oleh masyarakat Orang Asli hanya wujud melalui pewartaan yang sah oleh pihak kerajaan sebagai mana diperuntukkan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954.
Baginda dilapor menegaskan, mana-mana pendudukan, penerokaan atau penguasaan tanah tanpa kebenaran bertulis adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang.
Zuhairi berkata, pihaknya juga ada menerima aduan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan Orang Asli sebagai benteng untuk melindungi penerokaan haram.
“Perkara ini amat serius kerana ia bukan sahaja memperalatkan masyarakat Orang Asli, malah menjejaskan usaha kerajaan negeri dalam menjaga kedaulatan tanah dan kelestarian sektor pertanian. Orang Asli tidak seharusnya dipergunakan demi kepentingan pihak tertentu.
“Kita berharap pihak berwajib dapat mengambil langkah segera untuk memperkukuh pemahaman masyarakat tentang status tanah adat Orang Asli, sekali gus mengelakkan mereka daripada terus dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Penjelasan yang telus dan berterusan akan membantu mengelakkan konflik, menjaga keharmonian antara komuniti dan memastikan pembangunan negeri seiring dengan kelestarian alam dan hak masyarakat asal,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa usaha memperjelas isu tersebut bukan sahaja penting daripada sudut undang-undang, tetapi juga dari aspek sosial dan ekonomi.
Menurutnya, Orang Asli berhak mendapat maklumat yang tepat agar mereka tidak menjadi mangsa manipulasi, sementara kerajaan negeri pula dapat mengekalkan ketegasan dalam menguruskan tanah secara sah. – UTUSAN










