BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mengaku jumlah kematian yang dikumpulkan oleh pihak berkuasa kesihatan Gaza secara umumnya adalah tepat, menandakan perubahan pendirian ketara selepas bertahun-tahun menafikan dan mengkritik data tersebut.
Seorang pegawai keselamatan kanan Israel yang memberi taklimat kepada wartawan tempatan mengesahkan kira-kira 70,000 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan rejimnya di Gaza sejak Oktober 2023, tidak termasuk mereka yang masih hilang.
Ia merupakan kali pertama Israel secara terbuka mengemukakan anggaran jumlah korban akibat perang di Gaza.
Sebelum ini, kerajaan dan tentera Israel hanya mendedahkan jumlah askarnya yang didakwa terbunuh dalam peperangan dengan pejuang Hamas.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza pula melaporkan jumlah korban akibat serangan Israel kini melebihi 71,660 orang, dengan sekurang-kurangnya 10,000 dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah.
Selama lebih dua tahun, pegawai kerajaan dan media Israel berulang kali menolak angka yang dikeluarkan pihak Palestin, menuduhnya sebagai ‘propaganda Hamas’ dan menyifatkannya tidak tepat.
Perubahan pendirian secara mengejut itu mencetuskan persoalan lebih meluas mengenai justifikasi dan pembelaan Israel terhadap kempen ketenteraannya di Gaza.
Menurut Times of Israel, pihak berkuasa rejim masih meneliti jumlah sebenar mangsa awam, namun percaya angka keseluruhan yang dikumpulkan oleh pihak berkuasa kesihatan Gaza adalah ‘sebahagian besarnya tepat’.
Seorang jurucakap tentera enggan mengesahkan atau menafikan angka yang dibentang dalam taklimat itu, sambil mendakwa butiran yang diterbitkan tidak mencerminkan data rasmi Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
Dalam peperangan sebelum ini di Gaza, jumlah kematian akhir yang diiktiraf oleh Israel dan pemerhati antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah selari dengan data dikeluarkan Palestin.- THE GUARDIAN










