BAGHDAD: Gabungan utama Syiah Iraq, yang memegang majoriti dalam Parlimen, mengumumkan akan menyokong Nouri al-Maliki sebagai perdana menteri seterusnya, walaupun Amerika Syarikat (AS) mengugut untuk menamatkan semua sokongan terhadap negara itu.
AS mempengaruhi politik Iraq sejak mengetuai pencerobohan 2003 yang menyingkirkan pemerintah lama, Saddam Hussein, tetapi merupakan musuh kepada sekutu utama Baghdad yang lain, Iran.
Maliki, seorang broker kuasa dan ahli politik bijak, adalah satu-satunya perdana menteri Iraq yang berkhidmat dua penggal, memimpin kerajaan antara 2006 hingga 2014.
Beliau menikmati sokongan pemerintahan AS ketika itu, tetapi kemudian hubungan dengan Washington merosot kerana hubungannya yang semakin erat dengan Iran.
Minggu lalu, Maliki disokong sebagai perdana menteri seterusnya oleh Kerangka Kerja Penyelarasan, gabungan kumpulan Syiah dengan pelbagai tahap hubungan dengan Iran, yang muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebagai gabungan pemerintah utama.
Beberapa hari kemudian, Presiden AS, Donald Trump, mengeluarkan ultimatum, menyifatkan Maliki sebagai ‘pilihan yang sangat buruk’ dan jika beliau dipilih, AS tidak lagi akan membantu Iraq.
Pada Sabtu, Kerangka Kerja Penyelarasan menegaskan semula sokongan terhadap calon mereka.
“Pemilihan perdana menteri adalah urusan perlembagaan Iraq secara eksklusif … bebas daripada campur tangan asing,” katanya.
Ia menambah pihaknya komited untuk menjalin hubungan seimbang dengan masyarakat antarabangsa, terutamanya kuasa global utama, berasaskan saling menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman.
Selepas beberapa dekad konflik dan kekacauan, Iraq kembali merasai sedikit normalisasi, namun politik negara itu masih dihantui oleh cabaran menyeimbangkan hubungan dengan Iran dan AS.
Kenyataan Kerangka Kerja Penyelarasan itu dikeluarkan menjelang sesi parlimen yang dijadualkan untuk memilih presiden negara. Namun, di tengah pertikaian politik, masih belum jelas sama ada kuorum yang diperlukan akan dicapai.
Setelah dipilih, presiden akan mempunyai 15 hari untuk melantik perdana menteri, yang biasanya dicalonkan oleh blok Syiah terbesar.- AFP










