WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi bayangan berpuas hati terhadap rundingan tidak langsung diadakan bersama Iran di Oman kelmarin, dengan menyifatkannya sebagai ‘perbincangan yang sangat baik’.
Iran pula berkata, pihaknya menjangkakan lebih banyak rundingan bersama AS, selain memuji ‘suasana positif’ sepanjang hari rundingan di negara Teluk itu.
Perbincangan di Muscat itu berlangsung ketika kumpulan tentera laut AS yang diketuai kapal pengangkut pesawat berada di perairan Asia Barat.
Tidak lama selepas rundingan berakhir, AS mengumumkan sekatan baharu terhadap entiti perkapalan dan kapal, yang bertujuan mengekang eksport minyak Iran. Namun, tidak jelas sama ada tindakan itu berkaitan dengan rundingan tersebut.
Rundingan itu adalah yang pertama antara kedua-dua musuh sejak AS menyertai perang Israel dengan Iran pada Jun lalu, memusnahkan tapak nuklear di Teheran.
“Kami juga mengadakan perbincangan yang sangat baik mengenai Iran,” kata Trump kepada wartawan ketika dalam perjalanan ke Mar-a-Lago, Florida, sambil menambah pertemuan akan diadakan lagi awal minggu depan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, yang mengetuai delegasi ke Muscat, berkata perbincangan itu tertumpu sepenuhnya kepada program nuklear, yang dipercayai Barat bertujuan menghasilkan bom atom, namun Teheran menegaskan ia bersifat aman.
Delegasi AS, yang diketuai utusan khas Asia Barat, Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner, juga mahu Iran menyokong isu berkaitan kumpulan bersenjata, program berpandu balistik dan layanan terhadap penunjuk perasaan dalam agenda rundingan.
“Dalam suasana yang sangat positif, hujah kami dikongsi dan pandangan pihak lain juga disampaikan kepada kami,” kata Araghchi kepada media rasmi Iran, sambil memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju meneruskan rundingan.
Dalam kenyataan kepada agensi berita IRNA, beliau berharap Washington dapat menahan diri daripada sebarang ancaman dan tekanan supaya rundingan boleh diteruskan.
Beberapa sesi rundingan pada pagi dan petang menyaksikan kedua-dua pihak berulang alik ke dan dari kediaman Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi.
Sementara itu, Kementerian Luar Qatar berharap rundingan tersebut akan membawa kepada perjanjian komprehensif yang memenuhi kepentingan kedua-dua pihak dan meningkatkan keselamatan serta kestabilan di rantau berkenaan.- AFP










