Indonesia negara Asia pertama larang tunggang gajah

Indonesia negara Asia pertama larang tunggang gajah

GAMBAR fail menunjukkan para mahout menunggang gajah yang dicat ketika berarak berhampiran Istana Besar sempena penghormatan kepada bekas ratu Thailand Sirikit di Bangkok.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia mengharamkan aktiviti menunggang gajah, sekali gus menjadi negara Asia pertama melarang kegiatan pelancongan popular itu atas dasar kebajikan haiwan.

Indonesia, yang menjadi habitat kepada gajah Sumatera dan Borneo, pertama kali mengumumkan larangan di seluruh negara pada Disember, dengan pihak berkuasa memantau pematuhan secara berperingkat sejak awal tahun ini.

Langkah itu susulan desakan meluas untuk mengharamkan aktiviti menunggang gajah, dengan ramai rakyat Indonesia kini menggunakan media sosial bagi memaklumkan pihak berkuasa mengenai lokasi yang masih menawarkan aktiviti tersebut, terutama di pulau percutian paling popular, Bali.

Menurut Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Bali, semua pusat pemuliharaan di pulau itu, termasuk Zoo Bali dan Mason Elephant Park & Lodge, secara rasmi menghentikan aktiviti menunggang gajah menjelang akhir Januari.

“Berdasarkan pemantauan terkini kami, semua lima tapak pemuliharaan di Bali mematuhi arahan dan tidak lagi menawarkan aktiviti menunggang gajah kepada pengunjung,” kata ketua agensi itu, Ratna Hendratmoko, kepada Arab News kelmarin.

Aktiviti menunggang gajah sebelum ini merupakan tarikan pelancongan popular di Bali, yang menerima hampir tujuh juta pengunjung asing tahun lalu.

“Memang wujud permintaan daripada pengunjung dan pelancong yang terujua serta tertarik untuk menunggang gajah, walaupun hanya 10 hingga 15 minit.

“Saya berterima kasih kepada orang ramai yang menyuarakan kebimbangan dan mengingatkan kami untuk terus menjalankan pemantauan. Kami akan memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab,” kata Ratna.

Pihak berkuasa Indonesia menggesa tapak pemuliharaan untuk mengutamakan kebajikan haiwan, menyediakan aktiviti berbentuk pendidikan untuk pengunjung dan beralih kepada tarikan ‘inovatif serta tidak mengeksploitasi’, seperti pemerhatian hidupan liar tanpa sentuhan fizikal secara langsung.

November lalu, siasatan kumpulan hak haiwan People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) mendedahkan gajah di Bali sering dirantai dan dipukul menggunakan cangkuk besi tajam bagi memaksa haiwan itu mematuhi arahan untuk menunggang pelancong.

“Kami menggesa kerajaan Thailand dan negara lain, termasuk Nepal, Laos serta India supaya mencontohi langkah Indonesia,” kata PETA dalam satu kenyataan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN