JAKARTA: Indonesia sedang menyediakan 1,000 tentera untuk kemungkinan dihantar ke Gaza menjelang awal April, sebagai sebahagian daripada pasukan pengaman multinasional yang dicadangkan.
Jurucakap tentera, Donny Pramono berkata, Presiden Prabowo Subianto akan membuat keputusan akhir mengenai penempatan tersebut, sambil menambah seramai 8,000 anggota akan bersedia untuk ditempatkan menjelang Jun.
“Jadual berlepas kekal tertakluk sepenuhnya kepada keputusan politik negara dan mekanisme antarabangsa yang berkenaan,” katanya dalam mesej teks kepada Reuters.
Kenyataan itu dibuat ketika Prabowo bersiap untuk ke Washington bagi menghadiri mesyuarat rasmi pertama Lembaga Keamanan minggu ini, yang dipengerusikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan penubuhan lembaga tersebut sebagai sebahagian daripada rancangan pentadbiran Trump untuk menamatkan perang di Gaza antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas.
Kementerian Luar Indonesia pada 14 Februari menegaskan penyertaan tenteranya dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa yang diamanahkan PBB di Gaza tidak seharusnya ditafsir sebagai normalisasi hubungan politik dengan mana-mana pihak.
Jakarta tidak mengiktiraf atau menjalin sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.
“Indonesia secara konsisten menolak semua cubaan untuk mengubah demografi atau pemindahan paksa rakyat Palestin dalam apa juga bentuk,” menurut kenyataan kementerian itu.
Kerahan itu, yang mempunyai mandat kemanusiaan bukan tempur, hanya boleh dijalankan dengan persetujuan Pihak Berkuasa Palestin (PA), kata kementerian tersebut.
Katanya, tentera Indonesia juga tidak akan mempunyai mandat untuk melucutkan ketenteraan mana-mana pihak.- AGENSI










