FLORIDA: Fenomena unik menyelubungi negeri Florida apabila sejumlah iguana jatuh dari pokok selepas kaku akibat suhu dingin melampau yang kini melanda selatan Amerika Syarikat (AS).
Cuaca sejuk tersebut turut membawa salji setebal hampir setengah meter di beberapa kawasan dan angin kencang yang mencetuskan ‘huru-hara’ dalam sistem pengangkutan jalan raya.
Taburan salji paling lebat dilaporkan berlaku di Carolina Utara iaitu sebuah negeri yang jarang menerima salji kecuali di kawasan tanah tinggi.
Bandar Lexington di negeri itu merekodkan ketebalan salji sehingga 40 sentimeter (sm), manakala kawasan Faust di Pergunungan Walnut mencecah 56sm.
Gabenor Josh Stein melaporkan sebanyak 1,000 kemalangan jalan raya dan dua kematian berlaku sepanjang Sabtu dan Ahad, selain menggesa orang ramai supaya menjauhi jalan raya serta berwaspada terhadap simptom radang dingin.
Gelombang cuaca ekstrem terbaharu itu melanda kira-kira seminggu selepas ribut besar membadai sebahagian besar AS yang mengorbankan lebih 100 nyawa dan menyukarkan penduduk membersihkan timbunan salji serta ais.
Walaupun Florida tidak mengalami salji tebal seperti Carolina, Georgia, Tennessee, Kentucky dan selatan Virginia, negeri itu mencatatkan rekod suhu terendah dengan bacaan mencecah -4 darjah Celcius di Orlando.
Ia merupakan suhu paling rendah yang pernah direkodkan bagi bulan Februari sejak tahun 1923, berbanding suhu normal harian antara 12 darjah Celsius hingga 23 darjah Celsius pada waktu ini.
Saluran televisyen WPLG 10 yang berpangkalan di Miami melaporkan fenomena ‘hujan iguana’ pada pagi Ahad memandangkan reptilia berdarah sejuk tersebut akan jatuh dari pokok apabila suhu menjadi terlalu rendah.
Beberapa rakaman video yang dimuat naik ke media sosial memaparkan reptilia yang kaku itu berada di atas kaki lima selepas terjatuh dari dahan pokok di bahagian selatan negeri tersebut. – AFP










