Hamzah bebas buat keputusan hala tuju politiknya-Pas

Hamzah bebas buat keputusan hala tuju politiknya-Pas

TAKIYUDDIN Hassan (duduk, dua kiri) bersama pemimpin Pas yang hadir ke Sambutan Tahun Baharu Cina di kediaman Presiden Gabungan Pertubuhan Tionghwa, Oie Poh Choon di Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin bebas membuat keputusan mengenai hala tuju politiknya untuk menyertai mana-mana parti termasuk UMNO atau menubuhkan parti baharu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah berhubung keputusan yang akan dibuat oleh Ahli Parlimen Larut ini.

“Semasa pertemuan baru-baru ini (rumah Presiden Pas), beliau tidak membincangkan atau memaklumkan untuk sertai mana-mana parti.

“Pas terbuka menerima sesiapa sahaja yang mahu menyertai PAS namun terserah kepada pimpinan untuk persetujuan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina di kediaman Presiden Gabungan Pertubuhan Tionghwa, Datuk Oie Poh Choon di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, Pas tidak berpihak kepada Hamzah berhubung pemecatannya sebagai Timbalan Presiden Bersatu baru-baru ini.

Katanya, Pas tidak pernah mencampuri urusan Bersatu termasuk rakan gabungan lain dalam Perikatan Nasional (PN).

“Apa yang berlaku kepada Bersatu dan Hamzah itu adalah urusan dalam parti mereka dan tidak melibatkan kita,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, UMNO sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja untuk kembali menyertai parti itu termasuk Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dikaitkan dengan kemungkinan dikenakan tindakan pemecatan oleh partinya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pintu Rumah Bangsa sentiasa terbuka kepada mana-mana pemimpin atau individu yang ingin kembali atau menyertai UMNO, selaras dengan objektif penubuhan gagasan tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN