Elak sebarang tindakan sentuh sensitiviti kaum, agama - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Elak sebarang tindakan sentuh sensitiviti kaum, agama – Wan Rosdy

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri memandang serius isu melibatkan tindakan seorang mahasiswa di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dikaitkan dengan perbuatan menghina kemuliaan Nabi Muhammad SAW dan kesucian Al-Quran.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perbuatan seperti itu bukan sahaja mendukacitakan, malah lebih sensitif apabila ia berlaku dalam bulan Ramadan.

“Sebarang tindakan atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan, menjejaskan keharmonian serta merosakkan asas perpaduan yang telah lama dibina dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Sehubungan itu, saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan pihak UMPSA untuk menjalankan siasatan dan menguruskan kes ini secara menyeluruh, telus dan berlandaskan undang-undang serta peraturan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, beliau juga menasihatkan orang ramai, khususnya golongan muda agar sentiasa berfikir panjang dan berhati-hati dalam setiap tindakan serta perkongsian, terutamanya di ruang awam dan media sosial.

“Elakkan daripada terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menggugat keharmonian, kestabilan dan perpaduan masyarakat.

“Marilah kita bersama-sama memelihara semangat saling menghormati, memahami perbezaan serta menjunjung nilai kesopanan dan toleransi demi kesejahteraan negeri Pahang dan negara tercinta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN