TEMERLOH: Dua individu rentung selepas kenderaan dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan berhampiran Stesen Minyak Petronas Taman Tualang Indah di sini awal pagi hari ini.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 12.57 tengah malam melibatkan kenderaan jenis Proton Preve yang terbakar sepenuhnya sehingga mengakibatkan dua mangsa rentung. Sebuah lagi kereta terlibat Porsche Cayenne.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.57 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab tiba di lokasi pada pukul 1.06 pagi.
“Kemalangan membabitkan Proton Preve dan Porsche Cayenne. Kereta proton terbabit terbakar 100 peratus, manakala Porsche Cayenne tidak mengalami kebakaran,” katanya di sini hari ini.
Pemandu Porsche Cayenne dilaporkan melarikan diri dari lokasi kejadian, meninggalkan seorang penumpang lelaki dewasa yang cedera. Seorang lagi lelaki dewasa yang menaiki kenderaan sama dilaporkan selamat. – UTUSAN










