Dua beradik anak mangsa kebakaran di Kampung Ulu Dong setuju jadi anak angkat MARA - Utusan Malaysia

Dua beradik anak mangsa kebakaran di Kampung Ulu Dong setuju jadi anak angkat MARA

ASYRAF Wajdi Dusuki (tengah) menemui Ruby Adalia Balqis Mohd. Alawi dan Ahmad Balia Murqam di Ulu Dong di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Dua beradik anak mangsa kebakaran lima sekeluarga di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong di sini, Ruby Adalia Balqis Mohd. Alawi dan Ahmad Balia Marqam bersetuju dijadikan anak angkat Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, agensi berkenaan akan memikul amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab.

“Alhamdulillah, melihat keadaan mereka hari ini, saya bersyukur kerana kedua-duanya kelihatan lebih stabil dan kuat berbanding hari-hari awal tragedi. Saya sempat bertanya tentang pelajaran, cita-cita dan minat mereka. Dalam kesedihan yang masih bersisa, rupanya masih ada sinar harapan yang menyala dalam hati anak-anak ini.

“Mereka telah bersetuju untuk dijadikan anak angkat MARA, dan insya-Allah kita akan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Asyraf Wajdi berkata, Ruby Adalia Balqis yang kini sedang menuntut pelajaran dalam bidang perakaunan di Kolej Matrikulasi Pahang, menyatakan hasrat untuk menjadi seorang guru dan bercita-cita melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Cita-cita yang cukup mulia untuk mendidik anak bangsa. Insya-Allah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah mengarahkan saya dan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir Menteri Pendidikan Tinggi untuk bantu susun laluan terbaik agar impian adik Ruby Adalia Balqis ini menjadi kenyataan.

“Bagi adik Balia pula, dia minat dalam bidang usahawan. Pagi tadi MARA terus menawarkannya untuk meneruskan pengajian di MRSM Bentong dalam bidang teknikal. Alhamdulillah, beliau bersetuju. Selaku anak angkat MARA, kita akan memastikan kebajikan, pendidikan dan pembangunan sahsiah mereka dipantau secara rapi supaya masa depan mereka tidak terjejas walau sedikit pun akibat tragedi ini,” katanya.

Menurutnya, beliau juga sempat meninjau kawasan insiden kebakaran yang meragut nyawa insan tersayang dua beradik tersebut.

“Melihat sendiri lokasi tersebut benar-benar meruntun hati. Sukar digambarkan dengan kata-kata bagaimana perasaan kehilangan itu.

“Namun saya tegaskan kepada mereka, mereka tidak keseorangan. MARA dan seluruh rakyat Malaysia amat prihatin dan akan terus mendoakan kesejahteraan serta kejayaan mereka.

“Dari ujian yang amat berat ini akan lahir kekuatan luar biasa. Semoga Allah SWT terus memelihara dan mempermudahkan segala urusan kedua pelajar ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN