Dari zon peperangan ke dunia perubatan: Impian ‘kembar’ ingin kembali berbakti di Syria

Dari zon peperangan ke dunia perubatan: Impian ‘kembar’ ingin kembali berbakti di Syria

Pasangan kembar, Omar bersama Khaled serta tenaga pengajar pada Majlis Konvokesyen 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengalaman membesar di tengah-tengah dentuman bom dan suasana peperangan menjadi titik tolak kepada impian dua beradik kembar, M. Omar Hamwi dan M. Khaled Hamwi untuk menceburi bidang perubatan, demi berbakti kepada manusia tanpa mengira bangsa dan sempadan.

Detik sukar yang dilalui ketika usia masih mentah bukan sekadar memahat kenangan pahit, sebaliknya membina tekad luar biasa dalam diri mereka. Menyaksikan sendiri insan tercedera, malah kehilangan nyawa akibat penyakit dan kecederaan ketika konflik memuncak di Syria, meninggalkan kesan mendalam yang tidak mungkin dilupakan.

Daripada rasa simpati, lahir satu cita-cita besar – mahu menjadi doktor dan membantu mereka yang menderita.

“Bagi kami, membantu manusia bukan sekadar merawat penyakit, tetapi juga mendekati mereka yang sedang menderita,” ujar Khaled, mengimbau kembali pengalaman silam.

Perubahan besar dalam kehidupan keluarga Hamwi bermula apabila bapa mereka, Profesor Dr. M. Walid Hamwi menerima tawaran berkhidmat sebagai tenaga pengajar perubatan di Kolej Universiti Lincoln.

Peluang tersebut membuka lembaran baharu buat keluarga itu apabila mereka berpindah ke Malaysia pada tahun 2015, sekali gus meninggalkan zon peperangan yang menghimpit kehidupan mereka sebelum ini.

Sejak itu, Malaysia menjadi rumah kedua. Omar dan Khaled menerima pendidikan awal di negara ini sebelum menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Lincoln, sebuah institusi yang terkenal dengan barisan pensyarah berpengalaman dalam bidang tersebut.

Pengorbanan dan kesungguhan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila kedua-duanya muncul antara Pelajar Terbaik Fakulti Perubatan pada Majlis Konvokesyen 2026 yang berlangsung baru-baru ini.

Lebih membanggakan, Khaled turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Presiden atas pencapaian akademik cemerlang.

Walaupun lebih sedekad menetap di Malaysia, ikatan terhadap tanah kelahiran tidak pernah terputus.

“Hati kami tidak pernah melupakan asal usul. Suatu hari nanti, kami berharap dapat kembali berbakti kepada negara sendiri dan memberi pertolongan yang sepatutnya. Sebelum ini kami tidak ada peluang untuk berbuat demikian,” kata Khaled penuh harapan.

Pasangan kembar, Omar (kiri) bersama Khaled pada Mjalis Konvokesyen 2026.

Bagi Omar pula, kehidupan di Malaysia nyata berbeza berbanding Syria, namun pengalaman itu menjadikan dirinya lebih matang dan terbuka.

“Kami membesar di Pantai Timur kerana ayah ditugaskan di salah satu cawangan Lincoln di Kelantan. Jadi keluarga kami menetap di Kota Bharu. Saya sendiri sudah boleh bercakap dalam dialek Kelantan.

“Selain itu, banyak juga makanan tradisional Kelantan yang kami telah cuba. Semua sedap, cuma setakat ini saya belum mencuba untuk makan budu,” katanya sambil tersenyum.

Menyentuh perancangan masa depan, kedua-duanya bertekad untuk terus memperkukuh kemahiran sebagai doktor profesional.

“Dengan banyak latihan dan pendedahan yang diberikan oleh pihak universiti, kami yakin akan dapat mencapai impian kami.

“Bagi kami, bidang perubatan bukan sekadar satu profesion, sebaliknya satu panggilan jiwa yang telah tersemat sejak kecil. Minat mendalam itu memudahkan perjalanan pengajian, apatah lagi apabila disokong oleh persekitaran pembelajaran yang kondusif,” ujar Khaled.

Selain cemerlang dalam akademik, Omar turut aktif mewakili universiti dalam pelbagai program dan aktiviti di peringkat kebangsaan, membuktikan pelajar antarabangsa juga mampu menyumbang secara positif kepada komuniti setempat.

Sebagai rekod, Omar meraih tempat pertama dalam pertandingan ‘5th Intervarsity Parasitology Quiz & Oratorical Competition 2022’ yang melibatkan penyertaan universiti tempatan serta dari Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Kisah mereka bukan sekadar cerita kejayaan akademik, tetapi simbol ketabahan dan harapan bahawa pendidikan mampu mengubah nasib, sekali gus melahirkan insan berjiwa besar yang bersedia berbakti demi kemanusiaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN