WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan Cuba sebagai sebuah ‘negara yang gagal’ dan menggesa kerajaan Havana mengadakan rundingan dengan Washington, walaupun beliau menolak melancarkan operasi perubahan rejim.
“Cuba pada ketika ini merupakan sebuah negara yang gagal,” kata Trump kepada pemberita di atas pesawat Air Force One.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada AS akan menggulingkan kerajaan Cuba seperti yang dilakukannya ketika menyerbu Venezuela dan menangkap presidennya, Nicolás Maduro, Trump berkata: “Saya tidak fikir itu diperlukan.”
Pulau itu kini menghadapi kekurangan bahan api yang serius dan gangguan bekalan elektrik apabila Trump memperhebatkan embargo AS selama beberapa dekad ke atas negara itu dan mendesak negara lain menghentikan penghantaran minyak ke Havana.
“Ini merupakan ancaman kemanusiaan,” Trump mengakui mengenai kekurangan bahan api yang melanda negara itu.- AFP










