JOHOR BAHRU: Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah ladang kelapa sawit, September tahun lalu.
Lelaki berkenaan merupakan seorang daripada enam mangsa yang dibunuh dan dibakar dalam kejadian itu.
Rangka kesemua mangsa ditemukan dalam rumah yang terbakar berhampiran sebuah kuil terbiar.
Tertuduh R. Utes, 36, dan adiknya, R. Arasan, 32, mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama telah membunuh seorang lelaki bernama V. Thamil Selvan, berusia 28 tahun ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan di rumah tidak bernombor dalam sebuah ladang kelapa sawit di kawasan Kangkar Pulai, Skudai antara pukul 12.30 tengah malam hingga 4 pagi, pada 15 September lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun serta jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat sehingga 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd. Hamizi Mohd. Yusof dan Mohamad Isa Mohamad Basir.
Mahkamah menetapkan 6 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, toksikologi dan asid deoksiribonukleik (DNA). Tiada jaminan dibenarkan.
Terdahulu, Arasan yang hadir bertopang bersama abangnya tiba di pekarangan Mahkamah Johor Bahru pada pukul 9 pagi tadi dengan menaiki kenderaan polis diiringi anggota keselamatan termasuk pegawai penyiasat kes.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, dua suspek dituduh di mahkamah berhubung kes penemuan rangka manusia termasuk lima beranak di sebuah rumah yang terbakar.
Beliau dilaporkan berkata, suami kepada seorang daripada mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lalu, setelah menemukan rangka manusia ketika mencari isteri dan anak-anaknya yang dilaporkan hilang.
Sementara itu difahamkan polis masih menyiasat kematian lima beranak tersebut termasuk motif pembunuhan. – UTUSAN










