PETALING JAYA: Selepas spekulasi tindakan disiplin oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap Timbalan Presidennya, semalam Datuk Seri Hamzah Zainudin telah dipecat keahliannya daripada parti itu.
Ahli Parlimen Larut itu dipecat atas dakwaan mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kepemimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin memutuskan Hamzah dipecat serta-merta.
Beliau berkata, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang itu sudah melanggar Perlembagaan Bersatu.
“Hamzah dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuatkuasa mulai 13 Februari kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Sementara itu, dua lagi ahli Parlimen dari parti tersebut turut dipecat keahliannya iaitu Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Menerusi surat pemecatan yang dikeluarkan Lembaga Disiplin Bersatu, kedua-duanya didapati telah melanggar Fasal 9.14 Perlembagaan parti itu.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Radzi Manan berkata, Lembaga Disiplin sudah bersidang kelmarin dan memutuskan bahawa dua pemimpin itu dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuatkuasa mulai semalam.
“Sila ambil perhatian bahawa notis ini berkuat kuasa serta-merta. Bagaimanapun pihak Yang Berhormat boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” katanya.
Azahari dan Fathul Huzir juga merupakan dalam kalangan 16 orang Ahli Parlimen dari Bersatu semalam yang menandatangani sokongan terhadap kenyataan Ketua Whip Dewan Rakyat Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee sebelum ini yang mendesak supaya Muhyiddin segera meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu.
Menerusi kenyataan bersama tersebut, kesemua mereka melihat bekas Perdana Menteri itu sudah tidak lagi mampu menyatukan Bersatu dan memimpin parti itu ke arah kemenangan.
Mereka sebaliknya yakin bahawa Hamzah mampu menjadi pemangku presiden yang baik dan mengembalikan agenda Bersatu kepada perjuangan agenda rakyat dan negara.
Sebelum ini, turut telah dikenakan tindakan disiplin dalam kalangan ahli Parlimen tersebut ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dipecat serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang turut dipecat semalam. Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pula digantung keahliannya.
Selepas tindakan terhadap Hamzah dan dua Ahli Parlimen itu, dijangka 11 lagi wakil rakyat Bersatu bakal bakal berdepan tindakan disiplin yang sama.
Seorang anggota Lembaga Disiplin Bersatu berkata, ini disebabkan tindakan semua pemimpin terbabit bercanggah dengan perlembagaan parti dan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.
Katanya, pelbagai aspek akan dinilai dan dikaji secara terperinci sebelum sebarang tindakan dapat diambil terhadap mereka.
“Ya, mereka berkemungkinan akan dikenakan tindakan. Namun semua dilihat dalam semua aspek sebelum tindakan dapat diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang juga dalam kalangan 16 ahli Parlimen Bersatu itu memaklumkan bahawa beliau bersedia menerima sebarang tindakan daripada Lembaga Disiplin susulan tindakannya itu.
Beliau menjelaskan, tindakan tersebut dibuat selepas melihat peranan Bersatu sebagai salah satu komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan pembangkang yang semakin lemah.
“Terpulang kepada kepimpinan dan Lembaga Disiplin hendak buat apa pun,” katanya.
Sementara itu, Lembaga Disiplin Bersatu turut membuat keputusan memecat keahlian dua orang ketua bahagian parti itu semalam.
Mereka ialah Ketua Bersatu Bahagian Larut, Mohd. Hassundi Hamzah dan Ketua Bersatu Bahagian Libaran, Yunus Nurdin.-UTUSAN.










