Bayi kelahiran Pahang istimewa, terus nikmati manfaat Permata Makmur - Utusan Malaysia

Bayi kelahiran Pahang istimewa, terus nikmati manfaat Permata Makmur

SABARIAH Saidan (tiga dari kiri) ketika menyempurnakan majlis pelancaran Permata Makmur Tahun 2026 di Felda Kampung Sertik di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Istimewanya menjadi anak kelahiran Pahang apabila kerajaan Pahang meneruskan pemberian Permata Makmur di bawah Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) kepada bayi yang dilahirkan di negeri ini tahun ini.

Dalam majlis pelancaran Permata Makmur Tahun 2026 yang berlangsung di Felda Kampung Sertik hari ini, seramai 75 bayi di daerah ini menerima manfaat berupa sumbangan RM250 yang dimasukkan ke dalam Akaun Simpanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (SSPN Prime) sebagai simpanan awal pendidikan serta barangan keperluan bayi bernilai RM50.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan berkata, majlis pelancaran diadakan lebih awal tahun ini bagi memperhebatkan promosi supaya lebih ramai rakyat mengetahui dan menikmati manfaat yang disediakan kerajaan negeri.

“Tujuan kita buat awal-awal ini, macam saya kata tadilah dalam ucapan, kita nak mempromosi sebab saya tengok ramai lagi orang yang tak nampak dan tak tahu Permata Makmur ini.

“Dan kita pun dapat banyak aduanlah mengatakan mereka tak mengetahui. Jadi salah satu tujuan (majlis pelancaran) itulah,” katanya selepas selesai majlis berkenaan selaku wakil rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Serbaguna Felda Kampung Sertik di sini hari ini.

Sabariah berkata, bayi yang dilahirkan pada 2024 masih boleh mendapatkan manfaat inisiatif berkenaan dengan membuat pendaftaran di pejabat SSPN terdekat selain boleh mendapatkan sumbangan barangan keperluan bayi di pejabat ahli dewan undangan negeri (ADUN) masing-masing.

Selain itu katanya lagi, pendaftaran bagi bayi kelahiran tahun 2025 masih dibuka dan boleh dilakukan secara atas talian.

Bagi bayi kelahiran tahun ini pula, katanya, pendaftaran akan dibuka bermula 9 Mac ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, inisiatif tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, khususnya dalam membina masa depan generasi baharu Pahang.

“Jadi kita sebagai anak Pahang ini hendaklah kita bersyukur dengan apa yang kita ada dan saya selalu tegaskan bahawa sekiranya nak lagi, kita sokonglah kerajaan yang ada pada hari ini.

“Kekalkan, ini adalah semua daripada inisiatif Datuk Seri sejak menjadi Menteri Besar Pahang. Jadi kita sokong bagi kita memastikan benda ni akan ada seterusnya dan seterusnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN