Azam guna wang simpanan, ganjaran persaraan beli saham

Azam guna wang simpanan, ganjaran persaraan beli saham

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan yang dibuat oleh Tan Sri Azam Baki dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibiayai menggunakan simpanan peribadi, pencen dan ganjaran persaraannya tanpa melibatkan pinjaman atau sumber kewangan luar.

Menurut sumber, kira-kira lebih 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan itu kemudiannya dijual pada harga lebih rendah berbanding harga belian.

Keadaan itu menyebabkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerugian lebih RM400,000.

“Pegangan itu dibeli di pasaran terbuka sebelum dilupuskan dalam tahun yang sama susulan kemerosotan harga saham serta peningkatan penelitian awam terhadap pendedahan berkenaan,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia turut melihat dokumen yang memperinci tiga pembelian saham dalam syarikat berkenaan.

Azam sebelum ini menjelaskan, pembelian saham tersebut telah diisytiharkan melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), selaras dengan keperluan pengisytiharan harta bagi pegawai kanan perkhidmatan awam.

Beliau menegaskan, urus niaga pembelian dan pelupusan saham dibuat secara telus serta mematuhi prosedur tadbir urus yang ditetapkan.

Azam turut memaklumkan, beliau kini tidak lagi memegang sebarang saham dalam mana-mana syarikat dan menyifatkan pelaburan dalam Velocity Capital Bhd. sebagai pelaburan jangka pendek yang telah dilupuskan sepenuhnya.

Kelmarin, sebuah portal berita melaporkan bahawa Azam disenaraikan sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Laporan itu juga menyatakan bahawa pegangan saham itu didedahkan dalam penyata tahunan Velocity Capital Bhd. yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.

Berdasarkan harga penutup saham syarikat itu pada Isnin, nilai pegangan berkenaan dianggarkan sekitar RM800,000.

Semakan di laman sesawang syarikat mendapati Velocity Capital Bhd. tersenarai di Bursa Malaysia dan sebelum ini terlibat dalam sektor pengangkutan, logistik serta pembuatan seramik.

Syarikat itu kini beralih kepada sektor perkhidmatan kewangan termasuk aktiviti pemberian pinjaman wang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN