LIPIS: Seramai 50 golongan kurang berkemampuan termasuk warga emas menerima sumbangan bakul Ramadan berupa barangan keperluan harian daripada syarikat hartanah dan perumahan, Pembinaan Jaya Depan Sdn. Bhd. di Kampung Relong, Kuala Lipis di sini.
Sumbangan terbabit yang merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit disempurnakan penyampaiannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long bersama Pengarah Urusan Jaya Depan, Jason Tee.
Penduduk Kampung Telang, Wan Hamiah Wan Yusoh, 65, berkata, dia bersyukur ke hadrat Allah SWT dan gembira menerima barang keperluan dapur menjelang Ramadan yang bakal tiba.
“Saya bersyukur apabila dipanggil menerima sumbangan ini dan dapatlah menyediakan juadah berbuka puasa lantaran saya yang kerap uzur tanpa mempunyai pendapatan tetap kerana tidak mampu bekerja lagi,” katanya di sini hari ini.
Wan Hamiah berterima kasih kepada Pengarah Urusan syarikat itu yang cukup cakna dengan golongan yang kurang mampu berasaskan nilai kemanusiaan tanpa mengira kaum dan agama.
Seorang lagi penerima sumbangan, Noraziah Sani, 69, pula berkata, bantuan itu cukup bermakna kerana dapat meringankan beban keluarganya terutama dalam menyediakan kelengkapan dapur menjelang bulan Ramadan.
“Keprihatinan pihak syarikat terbabit turun padang menyampaikan sumbangan secara terus kepada penduduk kampung menunjukkan semangat kebersamaan yang wajar dicontohi,” katanya.
Sementara itu, Jason Tee berkata, sememangnya menjadi hasrat syarikat tersebut yang banyak melaksanakan projek perumahan berkonsepkan patuh syariah di Lipis dan Pahang Barat melunaskan tanggungjawab kebajikan membantu golongan kurang berkemampuan.
Beliau berkata, usaha kebajikan bukan sahaja sekadar memenuhi tuntutan CSR, malah menjadi sebahagian daripada prinsip syarikat itu untuk memastikan pembangunan yang dijalankan turut membawa manfaat kepada masyarakat setempat.

“Kami percaya, setiap projek yang dibangunkan mesti disertai dengan nilai kemanusiaan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan agar kesejahteraan komuniti dapat diperkukuh,” katanya.
Jason menambah, pihaknya akan terus memperluas program seumpama itu pada masa hadapan dengan memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar yang masih ramai penduduk berpendapatan rendah.
“Selain menyediakan rumah patuh syariah, kami mahu memastikan masyarakat di sekitarnya turut menikmati kesejahteraan hidup, khususnya ketika bulan penuh keberkatan seperti Ramadan,” ujarnya. – UTUSAN










