JUIZ DE FORA: Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang masih hilang selepas hujan lebat mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 nyawa di tenggara Brazil semalam.
Setakat ini, pihak berkuasa mengesahkan 39 orang masih hilang dalam kejadian yang memusnahkan kawasan penempatan serta menyebabkan jalan raya bertukar sungai lumpur deras di negeri Minas Gerais.
Menurut bomba, angka kematian direkodkan di bandar Juiz de Fora dan Uba, manakala lebih 200 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini.
Pegawai kanan bomba, Mejar Demetrius Goulart memberitahu agensi berita AFP, kejadian tanah runtuh berskala besar meranapkan sekurang-kurangnya 12 rumah di kawasan lereng bukit di Juiz de Fora.
“Kebanyakan mangsa berada di dalam rumah ketika hujan lebat berlaku pada waktu malam,” katanya.
Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi lokasi pencarian apabila pasukan penyelamat menggunakan anjing pengesan dan jengkaut untuk mengesan mangsa di bawah timbunan sisa runtuhan.
Harapan mula pudar bagi mencari mangsa terselamat memandangkan tempoh masa semakin lama, meskipun seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan berjaya ditarik keluar dalam keadaan hidup selepas terperangkap selama dua jam.
“Peluang untuk menemui mangsa yang terselamat menjadi semakin tipis seiring berlalunya masa,” kata Penyelaras Pertahanan Awam Negeri, Paulo Roberto Bermudes Rezende.
Sementara itu, Datuk Bandar Juiz de Fora, Margarida Salomao telah mengisytiharkan darurat selepas bandar yang dihuni lebih setengah juta penduduk itu mencatatkan rekod taburan hujan tertinggi bagi bulan Februari iaitu sebanyak 584 milimeter.
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menerusi hantaran di laman X menegaskan bahawa tumpuan kerajaan kini adalah untuk memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan segera selain memulihkan perkhidmatan asas bagi membantu kira-kira 3,000 penduduk yang hilang tempat tinggal.
Pihak berkuasa negeri turut menggantung sesi persekolahan di semua sekolah perbandaran ekoran keadaan yang disifatkan sebagai ekstrem dengan sekurang-kurangnya 20 kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku.- AFP










