KUANTAN: Yayasan Pahang (YP) mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan pemenang kategori anti-rasuah pada Forward Faster Sustainability Awards (FFSA) 2026 anjuran UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB).
Ia sekali gus menjadikannya sebagai yayasan milik kerajaan negeri pertama di Malaysia menerima pengiktirafan berprestij di bawah naungan United Nations Global Compact (UNGC).
Majlis tersebut berlangsung di ibu negara malam semalam dan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Yayasan Pahang memenangi kategori Anti-Rasuah menerusi penyertaan kertas kerja bertajuk “Building a Culture of Integrity: How Yayasan Pahang Strengthened Governance Through ISO 37001”, selepas disenarai pendek bersama Thumbprints United Sdn. Bhd., sekali gus mengungguli kategori tersebut di peringkat akhir.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed bersama Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd. Nawawi berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen berterusan yayasan tersebut dalam memperkukuh nilai integriti, ketelusan dan amalan tadbir urus korporat yang berlandaskan piawaian antarabangsa.
“Anugerah ini bukan sekadar satu pencapaian, malah pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang dianugerahkan oleh United Nations Global Compact. Ia membuktikan kesungguhan Yayasan Pahang dalam melaksanakan tadbir urus berintegriti secara menyeluruh, khususnya melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ISO 37001,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga apabila Yayasan Pahang dipilih pemenang dalam kategori anti rasuah, selari dengan prinsip kelestarian dan tadbir urus yang berakauntabiliti tinggi.
“Integriti adalah tunjang kepada setiap usaha kelestarian. Justeru, kami amat berbesar hati dan bersyukur atas pengiktirafan ini, dan percaya kejayaan ini menjadi penanda aras baharu bagi institusi yayasan milik kerajaan negeri di Malaysia,” tambahnya.
Mahmud turut berharap kejayaan itu akan terus menjadi pemangkin buat Yayasan Pahang memperkukuh budaya kerja berintegriti, memperkasa sistem tadbir urus yang amanah dan terus berbakti demi kesejahteraan rakyat serta kelestarian masa depan negeri Pahang.
Pada majlis sama, beberapa organisasi terkemuka negara turut menerima pengiktirafan bagi kategori lain, antaranya Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Telekom Malaysia Berhad, sekali gus memperkukuh kredibiliti dan kedudukan anugerah ini di peringkat nasional dan antarabangsa. – UTUSAN










