NEW YORK: Model AI milik Elon Musk, Grok, tidak lagi dibenarkan menyunting gambar individu kepada imej yang ‘mengaibkan’, susulan kebimbangan meluas negara-negara termasuk United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Perubahan itu diumumkan beberapa jam selepas ketua pendakwa tertinggi California memaklumkan negeri itu sedang menyiasat penyebaran deepfake AI yang bersifat seksual, termasuk terhadap kanak-kanak.
“Kami melaksanakan langkah teknologi untuk menghalang akaun Grok daripada membenarkan penyuntingan imej orang sebenar dalam pakaian yang mendedahkan seperti bikini.
“Sekatan ini terpakai kepada semua pengguna, termasuk pelanggan berbayar,” menurut pengumuman di X, platform yang mengendalikan Grok.
Kemas kini tersebut memperluaskan langkah-langkah yang menghalang semua pengguna termasuk pelanggan berbayar daripada menyunting imej orang sebenar kepada berpakaian seksi.
X juga menegaskan dalam satu kenyataan pada Rabu, hanya pengguna berbayar boleh menyunting imej menggunakan Grok di platformnya.
“Ini akan menambah lapisan perlindungan tambahan dengan memastikan mereka yang cuba menyalahgunakan Grok untuk melanggar undang-undang atau dasar X akan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Pengguna yang cuba menjana imej orang sebenar dalam bikini, pakaian dalam atau keadaan mengaibkan menggunakan Grok akan disekat mengikut undang-undang bidang kuasa mereka, kata kenyataan X.
Sebelum ini, Malaysia dan Indonesia menyekat akses kepada chatbot itu berikutan isu imej tersebut, manakala Perdana Menteri UK, Sir Keir Starmer, memberi amaran X berisiko kehilangan hak untuk mengawal sendiri susulan kemarahan terhadap imej AI itu.
Pengawal selia media Britain, Ofcom, berkata pada Isnin mereka akan menyiasat sama ada X telah gagal mematuhi undang-undang UK berhubung imej seksual tersebut.- BBC










