Warga emas diseret 10 meter, rugi puluhan ribu diragut ketika bakar sampah - Utusan Malaysia

Warga emas diseret 10 meter, rugi puluhan ribu diragut ketika bakar sampah

CHE Hisam Che Soh menunjukkan lokasi mangsa diragut semasa sedang membakar sampah Kampung Paloh Rambai, Ketereh dekat Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila diseret sejauh kira-kira 10 meter selepas menjadi mangsa samun ragut sehingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit dalam kejadian di Kampung Paloh Rambai, Ketereh di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang berusia 72 tahun, mengalami kecederaan pada beberapa bahagian anggota badan apabila bergelut sebelum diseret motosikal dinaiki kedua-dua suspek.

Seorang penduduk kampung, Che Hisam Che Soh, 67, berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang membakar sampah berhampiran Tanah Perkuburan Islam Nering, Ketereh di sini.

Katanya, penduduk memaklumkan mangsa didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal sebelum salah seorang suspek bertindak memeluk warga emas itu.

“Seorang lagi suspek bertindak meragut gelang tangan dan rantai leher sebelum berlaku pergelutan sehingga warga emas itu diseret dengan motosikal.

“Mangsa dikatakan sering membakar sampah di kawasan berkenaan yang terletak beberapa meter dari rumahnya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua lelaki menaiki sebuah motosikal sebelum salah seorang suspek turun untuk meragut seutas gelang tangan dan rantai leher dipakai mangsa.

Menurutnya, mangsa bergelut dengan suspek sehingga diseret sejauh kira-kira 10 meter di atas jalan sebelum kedua-dua lelaki melarikan diri.

Tambahnya, usaha memburu kedua-dua suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN