SYDNEY: Kebakaran belukar mengancam beberapa kawasan luar bandar di tenggara Australia pada Jumaat, yang diburukkan lagi oleh keadaan angin panas.
Suhu diramalkan melonjak melebihi 40 darjah Celsius apabila gelombang haba menyelubungi rantau itu, menjadikan cuaca kebakaran belukar paling berbahaya sejak kebakaran ‘Musim Panas Hitam’ pada 2019-2020.
Berpuluh-puluh kampung luar bandar di negeri Victoria digesa untuk berpindah sementara bagi mengelakkan kehilangan nyawa.
“Jika anda tidak berpindah sekarang, ia boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” kata Pesuruhjaya Pengurusan Kecemasan, Tim Wiebusch, kepada pemberita.
Beliau berkata, tiupan angin kencang melebihi 100 kilometer sejam (km/j) dijangka akan menghalang sementara operasi pesawat pemadam kebakaran yang mengawal kira-kira 30 kebakaran berbeza.
Ketua Pihak Berkuasa Bomba Negara, Jason Heffernan menyifatkan tahap bahaya kebakaran tersebut sebagai ‘bencana’.
“Rakyat Victoria perlu bersedia menghadapi lebih banyak kehilangan harta benda atau kemungkinan lain yang lebih buruk,” katanya.
Polis memaklumkan, tiga orang termasuk kanak-kanak hilang di dalam satu daripada kawasan kebakaran terburuk negeri itu.
Antara kebakaran belukar paling memusnahkan telah menjejaskan kira-kira 28,000 hektar tanah berhampiran bandar Longwood, sekitar 150 km utara ibu negeri Victoria, Melbourne.
“Beberapa harta benda musnah sepenuhnya. Mereka hilang sumber pendapatan dan ternakan, namun mujurlah tiada nyawa terkorban,” kata ketua bomba tempatan, George Noye.
Kebakaran belukar terburuk setakat ini melanda kawasan luar bandar yang jarang didiami, di mana penduduknya mungkin hanya berjumlah beberapa ratus orang.
Kebakaran belukar ‘Musim Panas Hitam’ melanda seluruh pesisir timur Australia dari akhir 2019 hingga awal 2020, memusnahkan berjuta-juta hektar tanah, merosakkan ribuan rumah dan menyebabkan bandar dilitupi asap berbahaya.- AFP










