WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menuntut Hamas untuk segera melucutkan senjata selepas kerajaan Israel mengesahkan tiada lagi rakyatnya yang ditahan di Gaza.
Kelmarin, pasukan Israel membawa pulang mayat askarnya, Ran Gvili, sebagai tebusan terakhir yang ditahan di Gaza, dengan Trump menyatakan peranan Hamas dalam penemuan tersebut.
“Mereka (Hamas) bekerja keras untuk mendapatkan kembali mayat tebusan itu. Mereka bekerjasama dengan Israel berhubung usaha tersebut,” kata Trump.
Walaupun beliau memuji peranan Hamas, Trump masih menggesa kumpulan pejuang Palestin itu untuk memenuhi komitmen perjanjian perdamaian, termasuk pelucutan senjata.
Trump mendakwa, pelucutan senjata Hamas berupaya mewujudkan perdamaian di Gaza.
“Sekarang kita harus melucutkan senjata Hamas seperti yang mereka janjikan,” katanya.
Sementara itu, pegawai AS yang enggan dikenali mendakwa, Israel dan Washington kini meningkatkan tekanan ke atas Hamas untuk melucutkan senjata sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan semula Gaza.
“Kami percaya pelucutan senjata datang bersama suatu bentuk pengampunan dan secara jujurnya kami mempunyai pelan yang sangat baik untuk melaksanakan pelucutan senjata,” katanya.
Pengampunan itu akan diberikan berikutan pengembalian mayat tebusan Israel terakhir Ran Gvili, yang ditahan oleh Hamas lebih 840 hari dan akan dibawa pulang untuk dikebumikan.
Bagaimanapun, kedutaan Israel di Washington enggan mengulas lanjut sama ada rejim akan bersetuju memberikan pengampunan kepada Hamas.
Di bawah pelan 20 perkara Trump, selepas semua tebusan dikembalikan, anggota kumpulan Hamas yang berikrar untuk hidup bersama secara aman serta melucutkan senjata akan diberikan pengampunan.
Menurut pelan damai itu juga, anggota Hamas yang ingin meninggalkan Gaza pula akan diberikan laluan selamat ke negara penerima.- AGENSI










