Trump cuba sorok ekonomi AS lemah

Trump cuba sorok ekonomi AS lemah

DONALD Trump menyampaikan ucapan kepada ahli Kelab Ekonomi Detroit di MotorCity Casino Hotel di Michigan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa mencatat kemenangan dalam prestasi ekonomi selepas 12 bulan kembali memegang jawatan, menyifatkannya sebagai ‘tahun pertama terhebat dalam sejarah’, meskipun ramai rakyat menyuarakan kebimbangan terhadap kos sara hidup.

Dalam ucapan di Kelab Ekonomi Detroit, beliau menyampaikan gambaran mengenai prestasi ekonomi sepanjang pentadbirannya, mendakwa harga barangan menurun dan produktiviti mengatasi jangkaan, walaupun data rasmi jelas menunjukkan sebaliknya.

Dalam keghairahan memuji pencapaian sepanjang tahun pertama penggal keduanya, Trump mula mengakui kebimbangan terhadap kemampuan sara hidup di seluruh AS, ketika pilihan raya pertengahan penggal November semakin hampir. 

Rumah Putih dalam beberapa hari kebelakangan ini melancarkan beberapa cadangan dasar yang bertujuan menangani isu tahap kemampuan kos sara hidup rakyat.

“Kita akan dikenang sebagai tahun pertama terhebat dalam sejarah yang tidak pernah ada tandingannya, berdasarkan angka semata-mata,” kata Trump di Michigan, sambil merujuk data inflasi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menunjukkan pertumbuhan stabil harga dan ekonomi berkembang pada kadar lebih pantas pada penghujung 2025.

Inflasi AS menurun sedikit sejak musim luruh, namun masih jauh melebihi paras biasa. Walaupun pertumbuhan KDNK melonjak secara tidak dijangka pada musim panas lalu, ia berlaku dalam tahun yang bergolak bagi ekonomi AS. 

Inflasi tahunan susut ke paras terendah empat tahun pada April iaitu 2.3 peratus, sebelum meningkat semula kepada tiga peratus menjelang September. KDNK pula menguncup pada suku pertama 2025, kali pertama sejak 2022.

Pasaran buruh AS yang tidak disentuh Trump dalam ucapannya, mengalami tahun yang amat tidak menentu, paling lemah sejak pandemik, apabila kadar pengangguran meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Trump memecat pegawai persekutuan yang bertanggungjawab ke atas statistik buruh pada Ogos, hanya beberapa jam selepas data menunjukkan pertumbuhan pekerjaan terhenti.

SALAHKAN FED

Bagaimanapun pada Selasa, beliau memuji data rasmi yang menurutnya tiada bandingan, kononnya angka tersebut dianggap ‘luar biasa’.

Wall Street terus diniagakan berhampiran paras tertinggi rekod, namun Trump mendakwa ‘Rizab Persekutuan (Fed) yang terlalu keras’ mengekang pasaran saham. 

“Mereka membunuh setiap kenaikan. Anda dapat suku tahun yang baik dan mereka mahu mematikannya kerana terlalu takutkan inflasi,” katanya

Trump meneruskan kempen luar biasa untuk mengawal Fed, yang setakat ini gagal dipaksa menurunkan kadar faedah. 

Terbaharu, Pengerusi Fed, Jerome Powell diletakkan di bawah siasatan jenayah berhubung keterangannya mengenai pengubahsuaian di ibu pejabat bank pusat.

Sebagai tindak balas, Powell menyifatkan siasatan itu sebagai alasan semata-mata, sambil menegaskan ia susulan keputusan bank pusat untuk menetapkan kadar berdasarkan penilaian terbaik mereka demi kepentingan awam, bukannya mengikut kehendak Presiden.

Trump mendakwa, beliau tidak mengetahui mengenai siasatan tersebut.

Reaksi balas meluas berhubung tindakan pentadbirannya menyasarkan Powell tidak menghalang Trump daripada melancarkan serangan baharu terhadap pengerusi Fed itu dalam ucapannya pada Selasa. 

“Orang itu akan pergi tidak lama lagi,” kata Trump merujuk kepada tarikh tamat tempoh jawatan Powell pada Mei.

Penilaian optimistik Trump terhadap ekonomi juga tidak dikongsi secara meluas. Dua kali ganda rakyat AS percaya keselamatan kewangan mereka semakin merosot berbanding semakin baik, menurut tinjauan Harris Poll untuk The Guardian bulan lalu.

Malah, Trump cuba mengalihkan tanggungjawab cabaran ekonomi kepada pendahulunya, Joe Biden. 

“Kami mewarisi pertumbuhan yang teruk, dan kami mewarisi inflasi terburuk dalam sejarah negara,” katanya.

Walaupun inflasi memuncak pada 9.1 peratus pada 2022 semasa pentadbiran Biden, ia kemudian berada sekitar tiga peratus sebelum beliau meninggalkan jawatan.

Rangkaian tarif luas Trump, yang mencetuskan kejatuhan besar pasaran saham pada musim bunga lalu, menyebabkan pergolakan ekonomi ketara pada 2025. 

Namun menurut Trump, tarif adalah satu kejayaan ekonomi. 

“Tarif Trump membawa masuk pelaburan baharu bernilai trilion dolar, perkongsian baharu yang belum pernah berlaku,” dakwanya.

Walaupun Mahkamah Agung dijadualkan memutuskan tidak lama lagi mengenai kesahan tarif asas 10 peratus dan rangkaian tarif balasnya, Trump memberi isyarat beliau tidak akan meninggalkan strategi tarif itu dalam masa terdekat, tanpa mengira keputusan undang-undang.

Trump turut mendakwa tindakan AS baru-baru ini di Venezuela membuka laluan kepada peningkatan pengeluaran tenaga, yang akhirnya akan menurunkan harga, termasuk harga donut.

“Apabila petrol turun kepada AS$1.99 seliter (RM8.06), semuanya akan turun. Harga donut turun, trak yang menghantar donut, dapur yang membuat donut, semuanya turun. Dan ia akan turun jauh lebih cepat daripada jangkaan sesiapa pun,” katanya.

Enggan mengakui dasarnya meningkatkan kos sara hidup, Trump menyenaraikan beberapa polisi yang bertujuan menangani isu tersebut, termasuk rancangan mengharamkan pelabur institusi besar daripada membeli rumah keluarga tunggal, membeli bon gadai janji bernilai AS$200 bilion (RM810.49 bilion), serta menggesa syarikat kad kredit mengehadkan kadar faedah.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN