WASHINGTON: Hubungan Amerika Syarikat (AS) dan Iran semakin ‘panas’ selepas Presiden, Donald Trump menggunakan kuasa ekonomi dengan mengenakan tarif kepada negara yang berdagang dengan Teheran selain mengulangi ancaman operasi ketenteraan terhadap negara itu.
Trump, pada Isnin mengumumkan tarif sebanyak 25 peratus ke atas mana-mana negara yang menjalankan perdagangan dengan Iran, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Teheran susulan tindakan keras kerajaan dalam menangani gelombang protes yang semakin buruk di negara tersebut.
“Berkuat kuasa serta-merta, mana-mana negara yang menjalankan urusan perniagaan dengan Republik Islam Iran akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua urus niaga perniagaan dengan AS.
“Perintah ini adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan,” kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social.
Menurut pangkalan data Trading Economics, rakan dagang utama Iran ialah China, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iraq.
Pengumuman tarif itu dibuat ketika Trump sedang mempertimbangkan kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran selepas kumpulan hak asasi melaporkan angka korban orang awam Iran yang menyertai protes semakin meningkat melebihi 500 orang.
Namun, media tidak dapat mengesahkan angka tersebut berikutan maklumat terperinci sukar diperoleh akibat sekatan internet di negara itu yang masih berterusan sejak Jumaat.
Media kerajaan melaporkan lebih 100 anggota keselamatan terbunuh sejak beberapa hari lalu.
Kelmarin, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, perkhidmatan internet akan dipulihkan secara berperingkat dengan penyelarasan pihak keselamatan.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, diplomasi sentiasa menjadi pilihan pertama Trump, namun serangan ketenteraan adalah antara tindakan yang sedang dipertimbangkan.
“Satu perkara yang Trump sangat mahir lakukan ialah sentiasa memastikan semua pilihannya terbuka. Serangan udara adalah antara banyak pilihan yang berada di atas meja bagi ketua pemerintah.
“Trump menunjukkan beliau tidak gentar menggunakan pilihan ketenteraan jika dan apabila beliau merasakannya perlu, serta tiada siapa yang lebih memahami perkara itu selain Iran,” katanya kepada wartawan.
Menurut Leavitt, Iran masih mempunyai saluran diplomatik terbuka dengan utusan khas Trump, Steve Witkoff dan mendakwa Teheran sering menunjukkan nada yang jauh berbeza dalam perbincangan tertutup berbanding kenyataan awamnya.
SEDIA BERPERANG
Kelmarin, Araghchi memberi amaran negaranya bersedia menghadapi peperangan sekiranya AS mahu ‘menguji’ keupayaan ketenteraan Iran.
Dalam wawancara eksklusif bersama Al Jazeera Arabic, Araghchi berkata, saluran komunikasi antara Iran dan AS masih terbuka walaupun negara itu sedang berdepan gelombang protes besar-besaran.
Namun beliau menegaskan Iran bersedia untuk semua kemungkinan, sambil mendakwa tahap kesiapsiagaan ketenteraan mereka kini jauh lebih tinggi berbanding ketika perang selama 12 hari dengan Israel tahun lalu.
“Jika Washington mahu menguji pilihan ketenteraan yang pernah diuji sebelum ini, kami bersedia menghadapinya,” kata Araghchi.
Pada masa sama, beliau menyatakan harapan agar AS memilih jalan yang bijaksana melalui dialog, sambil memberi amaran tentang pihak-pihak yang cuba mengheret Washington ke arah perang demi kepentingan Israel.
Dalam wawancara itu, Araghchi turut menyentuh peningkatan jumlah korban, mengulangi dakwaan unsur pengganas sudah menyusup ke dalam perhimpunan penunjuk perasaan dan menyasarkan pasukan keselamatan serta orang awam.
Iran turut menuduh AS dan Israel sebagai dalang yang mencetuskan ketegangan di negara itu sejak dua minggu lalu.
Kenyataan itu dibuat susulan komen Trump yang sedang mempertimbangkan ‘pilihan tegas’ terhadap Iran berhubung tindakan kerajaan menindas penunjuk perasaan, ketika protes yang tercetus akibat masalah ekonomi semakin memuncak dan berkembang menjadi tuntutan perubahan sistem pemerintahan.
Trump, yang baru-baru ini mengarahkan penculikan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro melalui operasi Pasukan Khas AS, turut menyatakan satu pertemuan sedang diatur dengan Teheran bagi membincangkan program nuklear Iran.
Namun katanya, AS mungkin terpaksa bertindak awal berikutan perkembangan yang sedang berlaku sebelum pertemuan itu.
Araghchi turut memaklumkan, komunikasi beliau dengan Witkoff, berterusan sebelum dan selepas protes serta masih berjalan.
Menurutnya, idea yang dibincangkan dengan Washington kini sedang dikaji di Teheran. Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan dan ancaman Washington terhadap negaranya adalah tidak sepadan.
“Kami bersedia untuk duduk di meja rundingan nuklear, dengan syarat tiada ancaman atau paksaan. Apabila mereka bersedia, kami akan mempertimbangkannya secara serius.
“Namun kami ragu-ragu sama ada Washington benar-benar bersedia untuk rundingan yang adil dan saksama,” katanya.










