WASHINGTON: Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memulakan tahun 2026 dengan melancarkan serangan ketenteraan baharu serta mengeluarkan ancaman perang yang mengejutkan antarabangsa dan jelas bercanggah dengan janjinya ketika kembali memegang jawatan untuk menjadi ‘Presiden Keamanan’.
Hampir setahun selepas pentadbirannya bermula, Trump semakin cenderung menggunakan pendekatan ketenteraan, dengan penglibatan konflik di pelbagai medan yang meluas dan sukar dijangka.
Kelmarin, Trump mengarahkan serangan ketenteraan berskala besar di Venezuela dan mengumumkan Presidennya, Nicolas Maduro ditangkap serta diterbangkan keluar dari negara itu.
Senator Demokrat, Ruben Gallego, seorang veteran Perang Iraq, menyifatkan Venezuela sebagai perang tidak berasas kedua dalam hidupnya, walaupun beliau mengakui Maduro seorang diktator.
“Memalukan apabila kita berubah daripada polis dunia kepada pembuli dunia dalam tempoh kurang setahun. Tiada sebab untuk kita berperang dengan Venezuela,” katanya di laman X.
Tindakan tersebut menyusuli operasi ketenteraan AS di Nigeria pada sambutan Hari Krismas, yang didakwa Trump sebagai usaha mengekang kumpulan jihad yang menyerang penganut Kristian.
Beberapa jam sebelum serangan di Venezuela, Trump turut memberi amaran mengenai satu lagi campur tangan AS di rantau ketiga, menegaskan pasukannya bersedia sepenuhnya sekiranya Iran membunuh penunjuk perasaan yang turun berdemonstrasi akibat isu ekonomi dan kos sara hidup.
Keghairahan terhadap perang itu jelas bercanggah dengan imej Trump yang lantang mendakwa beliau layak menerima Hadiah Nobel Keamanan kerana kononnya menamatkan lapan peperangan, dakwaan yang dipertikaikan ramai pihak.
Dalam ucapan pelantikan penggal keduanya, Trump mendakwa legasi paling membanggakan beliau ialah sebagai pendamai dan penyatu, namun menjenamakan semula Jabatan Pertahanan sebagai Jabatan Perang, malah menegaskan kekuatan ketenteraan adalah jalan menuju keamanan sebenar.
Trump yang sebelum ini lantang mengkritik bekas Presiden AS, George W. Bush sebagai penghasut perang susulan pencerobohan Iraq pada 2003 turut mengikut jejak beliau yang tidak mempedulikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau konvensyen antarabangsa lain berkaitan peperangan.
Pentadbiran Trump berhujah Maduro berdepan waran tangkap berkaitan tuduhan dadah di AS, namun kerajaan Maduro merupakan anggota PBB, walaupun kebanyakan negara Barat menganggapnya tidak sah susulan pilihan raya yang dicemari penyelewengan.- AFP










