BEIJING: Seorang nenek mendedahkan rahsia dia kekal sihat hingga mampu mencapai usia 101 tahun dengan berjaga lewat malam untuk menonton televisyen dan makan snek.
Jiang Yueqin berasal dari Wenzhou, wilayah Zhejiang di tenggara China, merupakan ibu kepada tujuh anak.
Gaya hidup Yeuqin menjadi tular di internet kerana rutin harian berjaga sehingga pukul 2 pagi setiap malam untuk menonton televisyen dan bangun sekitar 10 pagi keesokan harinya.
“Ibu saya seperti orang muda, dia seperti burung hantu. Walaupun berjaga lewat, kualiti tidurnya sangat baik,” kongsi anak perempuannya, Yao Songping.
Songping menjelaskan Yeuqin mengalami kecederaan tangan selepas terjatuh dan memerlukan pembedahan, keluarga memutuskan untuk menghalangnya daripada melakukan kerja rumah bagi mengelakkan dirinya terlalu letih semasa proses pemulihan.
Dengan sedikit aktiviti untuk mengisi harian, Yeuqin mula tidur lebih pada waktu siang, menyebabkan sukar untuknya tidur awal pada waktu malam, yang seterusnya mendorong tabiat menonton televisyen.
Kini, beliau menikmati sarapan dan makan tengah hari serentak, diikuti dengan makan malam sekitar pukul 6 petang, dan jika berasa lapar lagi sekitar jam 9 malam, beliau akan makan snek berupa biskut.
Snek kegemarannya ialah Matisong, manisan tempatan Wenzhou yang rangup, diperbuat daripada kastanye air.
Yeuqin juga menikmati snek yang biasanya digemari oleh orang muda, seperti kerepek, shaqima (manisan kek beras Cina), dan ubi keledek kering manis.
walaupun usia mencapai satu abad, Yeuqin tidak pernah menjalani rawatan pergigian dan masih bergantung sepenuhnya pada gigi semulajadi yang kuat tanpa bantuan gigi palsu.- AGENSI










