BANGKOK: Thailand menafikan dakwaan media asing yang menuduh negara itu merampas wilayah Kemboja atau menghalang penduduknya kembali ke rumah mereka.
Pusat Bersama Media mengenai Situasi Sempadan Thailand-Kemboja turut menegaskan, semua operasi Thailand kekal dalam bidang kuasa negara itu.
Katanya, penerangan sesetengah media asing baru-baru ini mengenai Thailand ‘menduduki’ tanah Kemboja sebagai mengelirukan fakta sebenar dan status kawasan yang dipertikaikan.
Pihak berkuasa Thailand menegaskan semua tindakan dilakukan sama ada di dalam wilayah berdaulat Thailand atau zon bersebelahan, di mana tuntutan sempadan masih bertindih dan berada dalam semakan dua hala serta undang-undang.
Pusat media itu menegaskan tiada sebarang tindakan yang dilakukan dianggap sebagai pencerobohan atau pendudukan wilayah.
Menurutnya, operasi Thailand bertujuan melindungi orang awam, mempertahankan kedaulatan dan mencegah peningkatan di sepanjang sempadan yang tegang.
Pusat itu juga menekankan peranan media dan menggalakkan pelaporan yang tepat, seimbang dan mencerminkan status undang-undang kawasan berkenaan, bagi mengelakkan salah faham dalam masyarakat antarabangsa.
Kementerian Luar Thailand berkata, Ban Nong Chan, yang dituntut Kemboja sebagai miliknya di Sa Kaeo, asalnya merupakan kampung pertanian sah Thailand.
Semasa perang saudara Kemboja pada 1975 hingga 1979, Thailand membuka kawasan itu sebagai pusat penerimaan pelarian atas dasar kemanusiaan.
Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian (UNHCR) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menggunakan kawasan tersebut sebagai pangkalan bantuan utama, menjadikan kampung itu simbol belas ihsan Thailand.
Khamis lalu, jurutera tentera Thailand membersihkan dan merobohkan struktur yang disifatkan dibina secara haram oleh Kemboja selama lebih 40 tahun.
Penduduk tempatan menyambut baik tindakan tentera mengambil alih kawalan kawasan itu, sekali gus membolehkan mereka kembali ke tanah pertanian selepas diusir askar Kemboja selama empat dekad.- AGENSI










