Talian hayat di pintu sempadan Rafah

Talian hayat di pintu sempadan Rafah

KEADAAN di pintu masuk lintasan sempadan Rafah dengan Mesir di selatan Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Selama dua tahun, penduduk Gaza terus menaruh harapan mendapat berita baik yang mampu mengubah nasib seluruh keluarga mereka menerusi ‘talian hayat’ di pintu sempadan Rafah. 

Pembukaan semula pintu sempadan Rafah yang ditutup dan dikawal Israel akan membolehkan ibu kepada enam anak, Khitam Hameed keluar dan bersatu semula dengan suaminya di luar Gaza.

Bagi keluarga ini, pembukaan semula Rafah bukan sekadar kebebasan bergerak. Ia mewakili peluang untuk bersatu semula selepas terpisah lama dan mendapatkan rawatan bagi anak mereka.

Pembukaan semula Rafah dikaitkan secara langsung dengan pengambilan mayat tebusan terakhir namun hanya sebahagian sahaja untuk kegunaan pejalan kaki di bawah pengawasan ketat tentera.

Sebelum perang tercetus, pintu sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir menjadi saluran kehidupan bagi rakyat Palestin, bukan sahaja sebagai pintu keluar masuk tetapi juga simbol hubungan dengan dunia luar.

Penutupannya yang bermula pada Mei 2024 bukan sahaja menjejaskan pergerakan orang ramai, malah mengurangkan bekalan bantuan perubatan dan keperluan asas selain menjejaskan ribuan pesakit yang menunggu rawatan di luar Gaza.

HAK YANG DINAFIKAN

Khitam, 50, yang tinggal di kem pelarian Nuseirat berhampiran Deir el-Balah paling bimbang tentang anak lelakinya, Yousef, 14, yang tidak dapat berjalan kerana menghidap penyakit genetik jarang berlaku dinamakan Sindrom Ehlers-Danlos (EDS).

“Saya tidak tahu sama ada dia mempunyai masalah komplikasi jantung atau keadaan tulang belakangnya bertambah buruk. Kami terus hidup bersama, hanya berdoa tanpa mengetahui sepenuhnya tahap kesihatan anak saya,” katanya.

Perang juga memisahkan keluarga mereka. Minggu sebelum konflik meletus, suami Khitam, Hatim, 52, meninggalkan Gaza ke Mesir untuk mencari peluang keluarganya berhijrah dan mendapatkan rawatan perubatan lanjut bagi Yousef.

“Sejak itu, saya bersendirian. Enam anak, seorang dengan masalah kesihatan istimewa, perang, pengusiran dan kelaparan.

“Menjadi pelarian seorang diri sangat sukar. Tidak tahu ke mana hendak pergi, bagaimana melindungi anak-anak, menyediakan makanan dan keselamatan. Kegelisahan dan ketakutan berterusan menjejaskan semua, tetapi Yousef paling teruk.

“Tiada sekolah, tiada kawan bermain, tiada rawatan dan secara psikologi, dia juga keletihan. Kanak-kanak seumurannya sepatutnya menjalani kehidupan biasa, bukan tersekat antara perang dan penyakit,” jelasnya.

Namun, Khitam masih bimbang bagaimana pintu sempadan akan beroperasi, walaupun harapan terus memberi semangat.

“Walaupun pintu sempadan dibuka, tidak semua boleh pergi dan tidak setiap kes diluluskan. Pembukaan sempadan tidak sepatutnya menjadi keajaiban. Ia adalah hak,” tegasnya.

BERPERANG DENGAN MASA

Anggaran tempatan menunjukkan lebih 22,000 pesakit dan mereka yang cedera, termasuk kira-kira 5,200 kanak-kanak tidak dapat mendapatkan rawatan kerana sekatan Israel, dengan ribuan lagi menunggu pemindahan perubatan yang sudah diluluskan tetapi masih gagal dilaksanakan.

Antara mereka, Hur Qeshta, seorang bayi berusia 15 hari yang dilahirkan dengan tumor besar dan luar biasa di leher hingga menjejaskan pernafasan dan menelan.

“Sejak saat dia dilahirkan, keluarga memulakan perang baharu melawan masa untuk memastikan dia mendapat rawatan segera,” kata ibunya, Doaa Qeshta, 32.

Hur dilahirkan melalui pembedahan Caesarean dan kini berada di unit rawatan rapi (ICU) neonatal Hospital Nasser, dengan bantuan oksigen dan diberi makanan melalui tiub dari abdomen.

Doaa mengaitkan keadaan anaknya dengan situasi semasa kehamilannya, termasuk pengusiran ke khemah di al-Mawasi, terdedah kepada pengeboman, asap, kelaparan dan kekurangan nutrisi.

“Saya mengandung ketika kelaparan. Tiada makanan, tiada vitamin, tiada keselamatan. Pengeboman berhampiran, 300 meter sahaja dan khemah kamisentiasa bergoyang, malah kami sangka kami akan mati.

“Pembukaan sempadan bermakna menyelamatkan nyawa anak saya. Saya daftarkan seluruh keluarga sebagai pengiring namun apa yang paling penting adalah Hur mendapat rawatan dan terus hidup,” ujarnya sayu.

Kesan penutupan Rafah melebihi akses perubatan, menjejaskan satu generasi muda yang pendidikan mereka tersekat di pintu sempadan yang tertutup.

Antara mereka, Rana Bana, 20, dari kawasan Daraj di Gaza City yang menamatkan sekolah menengah pada 2023 dengan purata 98 peratus dalam bidang farmasi. 

Sepanjang setahun, dia menerima beberapa peluang di luar negara, tetapi tidak kesemuanya menjadi kenyataan kerana Rafah ditutup.

“Pada 2024, saya diterima untuk biasiswa di Mesir, bersedia untuk pergi, tetapi pintu sempadan ditutup. Setahun kemudian, saya dapat biasiswa ke Turkiye, buat temuduga dalam talian, diterima dan sejak itu tersekat.

“Banyak masa dan hidup kami terbuang menunggu. Pelajar dan belia adalah kumpulan yang paling terjejas semasa perang. Kami cuma mahukan pendidikan, bukan perjalanan untuk pelancongan atau lain-lain,” katanya.

Namun dalam kegembiraan menanti pintu sempadan dibuka, ramai rakyat Palestin bimbang meninggalkan Rafah akan menjadi perjalanan sehala, terjebak dalam rancangan Israel ‘mengeksport’ penduduk Gaza secara kekal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN