TAIPEI: Taiwan kini berstatus ‘masyarakat super tua’ buat kali pertama, selepas data kerajaan menunjukkan 20 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas pada 2025.
Menurut statistik Kementerian Dalam Negeri semalam, terdapat 4,673,155 warga emas direkodkan tahun ini, mewakili 20.06 peratus daripada populasi pulau itu yang berjumlah lebih 23 juta orang.
Taiwan berdepan cabaran demografi yang semakin meruncing apabila jumlah penduduknya terus menyusut, sementara kadar penuaan meningkat dengan cepat.
Taiwan kini memenuhi kriteria Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai masyarakat super tua, apabila satu daripada lima penduduknya berusia 65 tahun ke atas.
Data kementerian turut menunjukkan penduduk berumur 0 hingga 14 tahun hanya mewakili 11.51 peratus daripada keseluruhan populasi.
Pada Disember 2025, hanya 9,027 kelahiran baharu direkodkan, penurunan 27 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, jumlah kelahiran sepanjang 2025 mencecah 107,812 bayi, paras terendah dalam sejarah Taiwan.
Kadar kelahiran kasar, iaitu jumlah kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk setahun, direkodkan pada 4.56 pada Disember.
Taiwan mula mencatat penurunan populasi buat kali pertama pada 2020, manakala kadar kelahirannya terus merosot selama dua dekad.
Pakar demografi menjelaskan wanita Taiwan kini berkahwin pada usia lebih lewat, memilih bilangan anak yang sedikit, atau memilih untuk tidak berkahwin langsung, sekali gus menyumbang kepada trend kelahiran yang rendah.- AFP










