ALEPPO: Kementerian Pertahanan Syria mengumumkan gencatan senjata di beberapa kawasan kejiranan di Aleppo semalam, selepas pertempuran berdarah selama beberapa hari dengan kumpulan Kurdish.
Pasukan kerajaan Syria sebelum ini bertempur dengan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai Kurdish di Aleppo, menyebabkan sekurang-kurangnya 21 terbunuh dalam beberapa hari pertempuran.
“Bagi mengelakkan berlakunya peningkatan ketenteraan baharu di kawasan kejiranan, Kementerian Pertahanan mengumumkan gencatan senjata di sekitar Sheikh Maqsoud, Al-Ashrafieh dan Bani Zeid di Aleppo, berkuat kuasa pukul 3 pagi,” kata kementerian dalam satu kenyataan.
Pasukan kerajaan serta kumpulan Kurdish saling menuding jari berhubung punca pertempuran tercetus pada Selasa, ketika pelaksanaan perjanjian untuk menggabungkan pentadbiran dan tentera Kurdish ke dalam penjara tergendala.
Keganasan terburuk di Aleppo sejak pihak berkuasa Islam Syria mengambil alih kuasa juga menyerlahkan ketegangan serantau antara sekutu Damsyik, Turkiye dan Israel, yang mengecam dan menggambarkannya sebagai serangan terhadap etnik Kurdish.
Kelmarin, tentera Syria mengarahkan orang awam meninggalkan beberapa kawasan kejiranan di Aleppo selepas pertempuran dengan pasukan Kurdish memasuki hari ketiga.
Kerajaan Syria menggesa penduduk di Sheikh Maqsoud, Ashrafieh dan Bani Zeid meninggalkan kawasan itu dan membuka koridor kemanusiaan serta pusat penempatan sementara bagi membantu proses pemindahan.
Pertempuran itu merupakan yang paling sengit di Syria sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan konflik lebih besar antara kerajaan Syria dan pihak berkuasa Kurdish, yang menguasai sebahagian besar timur laut negara tersebut.
Walaupun terdapat perjanjian agar SDF digabungkan ke dalam tentera Syria menjelang awal 2025, pertempuran tetap berulang antara kedua-dua pihak.
Pertempuran minggu ini merupakan konflik terbuka paling lama antara mereka sejak perjanjian itu ditandatangani pada Mac 2025.- AFP










