DAMASCUS: Kementerian Pendidikan Syria melancarkan siri reformasi pada 2025 bagi memulihkan sistem pendidikan negara, membaik pulih sekolah yang rosak dan memodenkan peperiksaan sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menstabilkan pembelajaran di seluruh negara.
Kementerian memberi keutamaan kepada pembinaan semula infrastruktur pendidikan, dengan 1,003 sekolah siap dibaik pulih manakala 1,015 lagi masih dalam proses naik taraf di beberapa wilayah. Usaha ini membolehkan ratusan ribu pelajar kembali ke bilik darjah.
Bagi memperluas akses pendidikan, kementerian menghapuskan sekatan yang sebelum ini mengenakan larangan kepada pelajar tertentu di bawah rejim Bashar Assad.
Pelajar yang terjejas diterima semula dan ditawarkan peperiksaan pemulihan.
Proses pendaftaran juga dipermudah, termasuk bagi pelajar yang kembali dari luar negara, untuk memudahkan kemasukan ke sekolah.
Kementerian turut melancarkan inisiatif bagi menyokong pendidikan inklusif untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Reformasi peperiksaan sekolah menengah dan menengah rendah turut diperkenalkan bagi meningkatkan ketelusan dan pentadbiran. Langkah-langkah ini termasuk penerbitan bahan latihan, pembukaan pusat peperiksaan tambahan dan pengukuhan kawalan anti-penipuan.
Selain itu, bengkel kebangsaan diadakan bagi meningkatkan keupayaan pentadbiran, manakala sesi maklumat memperkenalkan pelajar kepada format peperiksaan.
Lebih 15,000 guru yang pernah diberhentikan oleh rejim Assad sebelum ini telah diterima semula, menurut kementerian.
Usaha lain termasuk pembangunan pusat latihan vokasional dan galakan inovasi pelajar bertujuan menyelaraskan pendidikan dengan keperluan pasaran kerja.
Sebagai sebahagian daripada transformasi digital, kementerian memperkenalkan buku teks interaktif dan perpustakaan digital yang mengandungi berjuta-juta sumber pendidikan.
Sesi latihan dan bengkel dijalankan bagi memperkukuh kemahiran pengajaran serta menyokong pembelajaran berasaskan penyelidikan.
Syria turut memperluas penyertaannya dalam forum pendidikan antarabangsa, termasuk Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di Samarkand, Sidang Kemuncak Inovasi Pendidikan Dunia (WISE) di Doha, dan Forum Pendidikan Global di London.
Kerjasama dengan organisasi seperti UNESCO, Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Agensi Jerman untuk Kerjasama Antarabangsa (GIZ) diperkuatkan, selain Syria menyertai Global Partnership for Education.
Langkah reformasi ini dilakukan selepas bertahun-tahun sistem pendidikan negara terjejas akibat peperangan dan tindakan rejim terdahulu. -ARABNEWS










