KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman seorang pegawai polis berpangkat Inspektor di negeri ini bersama adik lelakinya kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM30,000 sebagai balasan melepaskan individu yang terlibat dalam kes jenayah narkotik.
Perintah reman selama lima hari sehingga 24 Januari ini dikeluarkan Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhari selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang merupakan seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 20 dan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang dan 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pahang.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2025.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah berjumlah antara RM1,000 hingga RM7,000 setiap bulan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik suspek lelaki,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd. Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










