ALOR SETAR: Peralihan sokongan orang Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) selepas keruntuhan Muafakat Nasional (MN) menjadi antara faktor utama mempengaruhi landskap politik negara sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, runtuhnya MN bukan sahaja meninggalkan kesan emosi dalam kalangan penyokong Melayu-Islam malah dakwanya mencetuskan perubahan besar dalam pola sokongan politik mereka khususnya ahli dan penyokong UMNO.
Menurut beliau, MN yang dibentuk atas semangat penyatuan ummah suatu ketika dahulu disambut dengan penuh harapan oleh orang Melayu selepas puluhan tahun pertembungan politik antara parti-parti Melayu.
“Muafakat itu melambangkan keinsafan kolektif bahawa perpecahan sesama sendiri hanya melemahkan umat dan bangsa. Namun, keindahan itu tidak bertahan lama, ia runtuh bukan kerana penolakan rakyat tetapi akibat kegagalan kepemimpinan mempertahankan amanah dan kepercayaan.
“Runtuhnya MN meninggalkan kesedihan yang mendalam dalam jiwa orang Melayu. Dari titik inilah bermulanya peralihan sokongan besar-besaran ahli dan penyokong UMNO kepada Pas atau PN manakala pengundi Melayu atas pagar turut memilih gabungan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia bagi mengulas penolakan Pas terhadap kolaborasi agung yang digagaskan oleh UMNO, baru-baru ini.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu, Pas menolak cadangan itu bukan kerana enggan untuk bersatu tetapi tidak sanggup bersekongkol dengan pemimpin yang sanggup mengorbankan prinsip demi kelangsungan kuasa.
“Sejarah mengajar pengajaran yang mahal iaitu jangan berulang meletakkan harapan kepada kepimpinan yang mengkhianati amanah.
“Pada saat UMNO memerlukan keberanian berubah, kepimpinan parti memilih mempertahan struktur lama yang ditolak rakyat. Kesempatan muhasabah dan pembaharuan disia-siakan demi kelangsungan elit tertentu,” ujarnya.-UTUSAN.










