Sijil amalan untuk doktor mohon sebelum 31 Disember

Sijil amalan untuk doktor mohon sebelum 31 Disember

LAPORAN Utusan Malaysia 3 Januari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sijil Amalan Tahunan (PAT) bagi tahun ini yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu adalah untuk semua pengamal perubatan yang mengemukakan permohonan lengkap pada atau sebelum 31 Disember 2025.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau mengambil maklum kebimbangan dibangkitkan pihak perubatan mengenai pengelua­ran PAT dan mengakui kenya­taan yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Kedudukan untuk semua pengamal yang terjejas adalah jelas. Permohonan lengkap yang dihantar pada atau sebelum 31 Disember 2025 memboleh­kan PAT berkuat kuasa mulai 1 Janua­ri 2026.

“Tarikh kuat kuasa PAT tidak bergantung kepada tarikh kelulusan atau pengeluaran, manakala indemniti serta status undang-undang pengamal perubatan kekal terjamin,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang bekerjasama dengan MPM untuk melaksanakan pelan pemulihan sistemik.

Katanya, antara langkah diambil termasuk pelaksanaan audit dalaman dan akauntabi­liti, dengan MPM akan mengemukakan laporan terperinci yang menggariskan punca utama, langkah mitigasi serta garis masa konkrit bagi penyelesaian penuh.

“KKM turut mengenal pasti keperluan mendesak untuk menaik taraf Sistem Maklumat dan Teknikal Daftar Perubatan (MeRITS) ke arah aliran kerja digital yang lebih sistematik dan berkapasiti tinggi.

“Pembaharuan dasar juga akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kesan pembaikpulihan digital dinilai terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan langkah dasar seterusnya termasuk semakan Akta Perubatan dan pengenalan Sijil Amalan Berbilang Tahun jika diperlukan.

“KKM komited untuk menyelesaikan perkara ini secara konstruktif. Matlamat kami adalah untuk memastikan ekosistem yang dapat memenuhi keperluan pengamal perubatan dengan lebih baik,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan mendapati seorang pengamal perubatan mengamal tanpa PAT di fasiliti berlesen atau berdaftar, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 31(1)(c) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) termasuk pengeluaran notis tunjuk sebab (NTS) atau kompaun.

Namun katanya, bagi isu kelewatan pengeluaran PAT 2026, Bahagian Amalan Perubatan (BAP) mengambil maklum kenyataan rasmi MPM.

“Selaras dengan ketetapan MPM, tiada tindakan penguatkuasaan akan dikenakan oleh CKAPS terhadap mana-mana pengamal perubatan yang belum menerima PAT 2026 sekiranya mereka telah membuat permohonan dan bayaran sebelum atau pada 31 Disember 2025 dan permohonan tersebut masih dalam proses di dalam sistem MeRITS,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×