Sepadu Bina sedia laksana program baik pulih, penambahbaikan rumah asnaf - Utusan Malaysia

Sepadu Bina sedia laksana program baik pulih, penambahbaikan rumah asnaf

SYARIFAH NURUL ASYIKIN AZEMMANT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebuah syarikat bumiputera, Sepadu Bina Resources menyatakan kesediaan melaksanakan program baik pulih dan penambahbaikan rumah asnaf bagi membantu golongan memerlukan mendapatkan kediaman yang lebih selamat serta selesa.

Pengarah Urusannya, Syarifah Nurul Asyikin Azemmant berkata, program tersebut menyasarkan golongan asnaf fakir dan miskin yang memiliki rumah sendiri, khususnya penerima zakat yang disahkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

“Masih terdapat keluarga asnaf yang tinggal di rumah dalam keadaan uzur, berisiko dan tidak kondusif. Masalah seperti atap bocor, struktur rumah rosak dan tandas yang tidak berfungsi boleh menjejaskan keselamatan serta kesihatan.

“Jadi, kita wujudkan program ini sebagai inisiatif sosial yang memberikan tumpuan pembaikan struktur asas kediaman termasuk atap, dinding, lantai dan kemudahan tandas, dengan matlamat menyediakan persekitaran tempat tinggal yang lebih selamat, bersih dan bermaruah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Syarifah Nurul Asyikin berkata, program tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan pengurusan yang teratur, kos yang berkesan dan manfaat dapat disalurkan kepada golongan sasar dengan lebih cepat serta menyeluruh.

“Matlamat utama program ini adalah untuk membina semula harapan golongan asnaf, di samping meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan keluarga mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, Sepadu Bina Resources berharap program itu dapat dilaksanakan dengan sokongan dan peruntukan pelbagai pihak termasuk agensi berkaitan, wakil rakyat dan badan kebajikan.

“Ia selaras dengan usaha memperkasa kebajikan masyarakat dan pembangunan sosial secara mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN