NEW YORK: Presiden Venezuela yang digulingkan, Nicolás Maduro, dihadapkan ke mahkamah Amerika Syarikat (AS) semalam dan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan ke atasnya.
Maduro, 63 tahun, yang ditahan beberapa hari sebelum itu dalam satu operasi ketenteraan AS, hadir di hadapan hakim dengan pergelangan kaki dirantai dan berpakaian banduan.
Melalui jurubahasa, beliau menafikan semua pertuduhan yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup dan menegaskan kedudukannya sebagai presiden Venezuela yang sah.
“Saya tidak bersalah. Saya seorang lelaki yang baik. Saya masih presiden negara saya,” kata Maduro sebelum Hakim Alvin Hellerstein menghentikan kenyataannya.
Maduro dilihat memakai selipar berwarna oren, seluar kuning air serta kemeja berlapis hitam dan oren, sambil mencatat nota ketika peguam membincangkan kes yang dijangka menjadi pertarungan undang-undang sengit.
Beliau berdepan empat pertuduhan jenayah persekutuan di AS, termasuk konspirasi narko-keganasan, mengimport kokain serta pemilikan senjata api automatik dan peranti pemusnah. Setiap pertuduhan itu membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup.
Peguamnya, Barry Pollack, memberitahu Hellerstein pihak pembelaan menjangkakan perbicaraan undang-undang yang meluas berhubung kesahihan ‘penculikan secara ketenteraan’ terhadap Maduro.
Isteri Maduro, Cilia Flores, turut mengaku tidak bersalah. Beliau berdepan pertuduhan yang sama kecuali konspirasi narco-keganasan.
Tarikh perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 17 Mac.
AS menganggap Maduro sebagai diktator tidak sah sejak beliau mengisytiharkan kemenangan dalam pilihan raya 2018 yang dicemari dakwaan penyelewengan besar-besaran.
Penangkapannya menandakan campur tangan Washington yang paling kontroversi di Amerika Latin sejak pencerobohan Panama 37 tahun lalu.- AGENSI










