KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) membongkar lokasi persembunyian seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua wanita selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Salor, Kota di sini semalam.
Serbuan dijalankan kira-kira pukul 4 pagi semasa Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan tugasan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas rumah berkenaan menjumpai 15 PATI warganegara Myanmar.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua individu itu berusia 19 hingga 37 tahun tidak mempunyai dokumen perjalanan sah masuk ke negara ini.
“Kesemua mereka telah ditahan dan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959.-UTUSAN










