RM27.46 bilion pacu 500 projek pembangunan Kelantan

RM27.46 bilion pacu 500 projek pembangunan Kelantan

JASRI Kasim (dua dari kanan) menyerahkan replika sebagai simbolik bantuan baik pulih rumah kepada wakil penduduk di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, Kelantan. – mingguan/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan mene­rima peruntukan berjumlah RM27.46 bilion bagi melaksanakan 500 projek pembangunan dan infrastruktur menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sekali gus menjadi antara suntikan pembangunan terbesar untuk negeri ini.

Pengarah Pejabat Pemba­ngunan Persekutuan Negeri Ke­lantan, Jasri Kasim berkata, daripada jumlah tersebut, 118 projek baharu dan 382 projek sambu­ngan kini sedang dipantau secara rapi di bawah Rolling Plan Kelima (RP5).

Katanya, antara projek utama yang sedang dilaksanakan adalah pembesaran Jalan Pasir Hor di Kota Bharu serta pembangunan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang dijangka memberi kesan besar kepada pergerakan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kami memantau semua projek ini bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Sekiranya berlaku kelewatan, tindakan diambil berdasarkan isu yang dikenal pasti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Kampung Angkat Madani di Kampung Guchil Bayam, di sini, semalam.

Jasri berkata, projek-projek tersebut kelak dijangka membawa perubahan ketara daripada segi kesejahteraan rakyat yang merangkumi aspek ekonomi, sosial serta pembukaan peluang pekerjaan di Kelantan.

Mengenai Kampung Angkat Madani, Jasri berkata, hampir 10,000 penduduk dari empat kampung terlibat dalam program berkenaan.

Katanya, empat kampung tersebut ialah Kampung Guchil Bayam dan Kampung Sungai Keladi di Kota Bharu manakala Kampung Belimbing dan Kampung Pangkal Manak di Tanah Merah.

“Pelbagai inisiatif pemba­ngunan dan kerja baik pulih infrastruktur asas diberi tumpuan termasuk di Kampung Guchil Bayam.

“Antara yang dilakukan di kampung ini adalah kerja-kerja menaik taraf pagar kubur, longkang dan jalan kampung serta bantuan baik pulih rumah bagi penduduk miskin di bawah eKasih,” katanya.

Katanya, projek tambahan seperti pembaikan jalan serta penambahbaikan taman rekreasi turut dirancang bagi meningkatkan keselamatan, kelancaran mobiliti dan ruang komuniti.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN