JERANTUT: Masjid Assobirin Felda Jengka 24 terus mengukuhkan peranannya sebagai pusat ibadah dan kebajikan masyarakat menerusi perasmian pejabat baharu yang dibina hasil sumbangan orang ramai berjumlah RM100,000.
Pengerusi Masjid Wilayah Jengka merangkap Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, kos pembinaan berjaya dikumpulkan sepenuhnya dalam tempoh enam bulan, sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap pembangunan institusi masjid.
“Pejabat baharu ini bukan sahaja melancarkan urusan pentadbiran, malah menjadi simbol kebersamaan masyarakat dalam memakmurkan masjid,” katanya pada majlis perasmian pejabat baharu tersebut di sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 30 anak yatim dan 50 asnaf menerima sumbangan bagi meringankan beban perbelanjaan membeli pakaian sekolah serta kelengkapan persekolahan.
Sumbangan berkenaan disalurkan hasil keprihatinan masyarakat setempat melalui pengurusan Masjid Assobirin yang sentiasa aktif melaksanakan program kebajikan.
Razak berkata, Masjid Assobirin akan terus berperanan sebagai pusat ibadah, kebajikan dan penyatuan masyarakat setempat.
Menurutnya, pihak masjid turut memberikan penekanan kepada usaha mendekatkan golongan muda dengan masjid agar institusi berkenaan terus diimarahkan.
“Usaha berterusan itu diharap dapat menjadikan Masjid Assobirin Felda Jengka 24 sebagai pusat komuniti yang aktif serta terus dimakmurkan oleh masyarakat setempat,” katanya. – UTUSAN










