Protes Iran makin tak terkawal, bimbang campur tangan asing

Protes Iran makin tak terkawal, bimbang campur tangan asing

TANGKAP layar video menunjukkan penunjuk perasaan di daerah Malekshahi, wilayah Ilam di barat Iran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Tekanan terhadap kepimpinan ulama Iran semakin memuncak selepas protes yang berlarutan hampir dua minggu akibat kegawatan ekonomi bertukar ganas dengan angka korban dilaporkan terus meningkat.

Menurut laporan pertubuhan bukan kerajaan Iran Human Rights yang berpangkalan di Norway, sekurang-kurangnya 45 penunjuk perasaan, termasuk lapan kanak-kanak terbunuh sejak demonstrasi bermula sementara ratusan lagi dilaporkan cedera dan lebih 2,000 orang ditahan.

Pihak berkuasa turut bertindak memutuskan akses internet dan talian telefon selepas protes merebak di ibu negara Teheran serta lebih 348 lokasi di bandar-bandar utama lain pada malam Khamis.

GERAKAN BAZAAR TEHERAN

Gerakan bantahan itu bermula dengan penutupan bazar Teheran pada 28 Disember susulan kejatuhan nilai mata wang rial ke paras terendah dalam sejarah.

Keadaan bertambah buruk apabila bank pusat memutuskan untuk menamatkan program yang membenarkan sesetengah pengimport mendapatkan dolar AS pada kadar lebih murah berbanding pasaran terbuka, keputusan yang menyebabkan peniaga menaikkan harga.

Harga barangan asas seperti minyak masak dan ayam melonjak mendadak dalam tempoh singkat, manakala sesetengah produk terus hilang daripadai pasaran.

Ketidaktentuan ini mendorong peniaga bazar menutup kedai mereka.

Selepas beberapa hari protes dan tindakan keras, kerajaan cuba meredakan tekanan dengan menawarkan bantuan tunai kira-kira AS$7 (RM28.46) sebulan, walaupun mengakui langkah itu sahaja tidak mampu menyelesaikan krisis.

Gelombang bantahan ini menimbulkan kebimbangan kepada pihak berkuasa di bawah Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang sedia berdepan krisis ekonomi akibat sekatan bertahun-tahun serta masih dalam fasa pemulihan selepas perang dengan Israel pada Jun lalu.

“Protes kali ini terasa berbeza kerana ia melibatkan kuasa beli rakyat dan orang ramai benar-benar tidak mampu membeli apa-apa.

“Harga naik hampir setiap jam sekarang, tetapi bagaimana ia akan berakhir tiada siapa yang tahu, semua orang berasa cemas,” kata seorang penduduk Tehran berusia 30 tahun yang enggan dikenali kepada CNN.

PROTES EKONOMI BERTUKAR POLITIK

Pakar berkata, gerakan yang tidak mempunyai kepimpinan jelas dan koordinasi ini menjadi ganas apabila protes ekonomi bercampur dengan tuntutan politik.

Sebahagian penunjuk perasaan dilihat menyahut seruan Putera Mahkota Iran dalam buangan, Reza Pahlavi supaya rakyat turun berprotes pada Khamis.

Antara slogan yang dilaungkan ialah ‘Ini adalah pertempuran terakhir’ dan ‘Pahlavi akan kembali’, menurut video yang disahkan CNN.

Rakaman yang disahkan turut menunjukkan protes besar-besaran di bandar-bandar seluruh Iran, dengan penunjuk perasaan menyekat jalan dan membakar api di kawasan jalan di ibu negara.

Video tersebut turut memperlihatkan kumpulan dengan pandangan berbeza melaungkan slogan menyokong dan menentang kerajaan Iran.

Sekumpulan besar orang dilihat berkumpul di Lebuhraya Ayatollah Kashani di barat laut Teheran, berdasarkan imej media sosial yang disahkan AFP, manakala imej lain menunjukkan orang ramai berarak di bandar Abadan di barat negara itu.

Wilayah Iran di barat seperti Ilam dan Lorestan muncul sebagai kawasan panas. Dipacu perpecahan etnik dan kemiskinan, penunjuk perasaan mengoyakkan bendera dan melaungkan slogan mencabar kepimpinan tertinggi negara.

Rakaman video yang dikenal pasti lokasi oleh CNN di sebuah dataran awam di wilayah Mazandaran di utara Iran menunjukkan orang ramai menyeru penyingkiran Ayatollah.

Dalam satu video yang disahkan AFP, penunjuk perasaan di Kuhchenar, wilayah Fars di selatan Iran, kelihatan bersorak pada waktu malam ketika mereka meruntuhkan patung bekas komander operasi luar Pasukan Pengawal Revolusi, Qassem Soleimani, yang terbunuh dalam serangan AS pada Januari 2020.

Gerakan itu turut merebak ke institusi pengajian tinggi, menyebabkan peperiksaan akhir di Universiti Amir Kabir, antara universiti utama di Teheran ditangguhkan selama seminggu, menurut agensi berita ISNA.

Parti-parti pembangkang Kurdish Iran yang berpangkalan di Iraq pula menyeru mogok umum di kawasan berpenduduk Kurdish di barat Iran.

Kumpulan hak asasi Hengaw berkata, seruan itu dipatuhi secara meluas di kira-kira 30 bandar dan pekan, sambil memuat naik rakaman kedai-kedai yang ditutup di wilayah barat Ilam, Kermanshah dan Lorestan.

Badan itu menuduh pihak berkuasa melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di Kermanshah dan bandar berdekatan Kamyaran di utara, menyebabkan beberapa orang cedera termasuk seorang wanita di Abadan yang ditembak tepat di bahagian mata.

Agensi berita Fars News melaporkan, 950 anggota polis dan 60 anggota pasukan separa tentera Basij cedera, kebanyakannya dalam pertempuran di wilayah barat dengan perusuh yang bersenjatakan senjata api, bom tangan dan senjata lain.

Bandar Ilam menjadi tumpuan minggu ini selepas penunjuk perasaan yang cedera dibawa ke hospital, sebelum pasukan keselamatan menyerbu fasiliti itu dan menahan mereka. Insiden tersebut mencetuskan kecaman meluas kumpulan hak asasi manusia dan mendorong kerajaan berjanji menjalankan siasatan.

Pakar berpendapat, tanpa alternatif yang berdaya maju kepada sistem pemerintahan sedia ada, protes yang berlaku berkemungkinan besar tidak akan membawa kepada perubahan rejim.

Namun, pergolakan yang meluas itu dikhuatiri memberi ‘lampu hijau’ kepada anasir luar untuk campur tangan termasuk Amerika Syarikat (AS).

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN