TEHERAN: Kerajaan Iran mengisytiharkan tiga hari berkabung kebangsaan untuk mangsa termasuk anggota keselamatan yang terkorban dalam protes selama dua minggu di negara itu.
Kerajaan menyifatkan perjuangan menentang apa yang digelarnya ‘rusuhan’ sebagai pertempuran penentangan kebangsaan Iran melawan Amerika Syarikat (AS) dan rejim Zionis, sebagai merujuk kepada Israel.
Presiden Masoud Pezeshkian menggesa orang ramai untuk mengambil bahagian dalam perarakan penentangan kebangsaan pada Isnin, melibatkan demonstrasi di seluruh negara untuk mengecam keganasan yang menurut kerajaan dilakukan oleh ‘pengganas bandar’, lapor televisyen negeri.
Sebuah video yang lokasi rakamannya berjaya disahkan AFP pada Ahad menunjukkan puluhan mayat dikumpul di luar sebuah bilik mayat di selatan Teheran, dengan kumpulan hak asasi manusia mendakwa mereka adalah mangsa tindakan keras pihak berkuasa Iran terhadap penunjuk perasaan.
Rakaman itu, yang dikenal pasti berlaku di bilik mayat Kahrizak di selatan ibu negara Iran, menunjukkan mayat-mayat dibalut dalam beg hitam diletakkan di atas tanah, sementara beberapa individu yang dipercayai waris kelihatan mencari ahli keluarga mereka.
Video berkenaan mula muncul dalam talian pada Sabtu. Bilik mayat itu secara rasmi dikenali sebagai Pusat Diagnostik Forensik dan Makmal Wilayah Tehran.
Kumpulan hak asasi manusia sebelum ini menarik perhatian terhadap rakaman dari Kahrizak, dengan Kumpulan Hak Asasi Manusia Iran (IHR) yang berpangkalan di Norway berkata, ia ‘menunjukkan sejumlah besar individu yang terbunuh dalam protes nasional di Iran’.
Kumpulan Hengaw, juga berpangkalan di Norway, berkata mereka mengesahkan rakaman yang menunjukkan puluhan mayat berlumuran darah di dalam dan luar bilik mayat Kahrizak, sesuatu yang digambarkan sebagai ‘jenayah serius’.
Aktivis menuduh pasukan keselamatan menggunakan tembakan langsung untuk membanteras protes selama dua minggu di sebalik penutupan internet, sambil menyuarakan kebimbangan ratusan orang mungkin sudah terbunuh.










