Program latihan YBGK-PGSMP perkukuh kompetensi Peguam Syarie Pahang - Utusan Malaysia

Program latihan YBGK-PGSMP perkukuh kompetensi Peguam Syarie Pahang

PESERTA yang tamat Kursus Latihan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siri 1/2026 di Hotel Apsara, Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Persatuan Peguam Syarie Negeri Pahang (PGSM Pahang) dengan kerjasama Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) menganjurkan Kursus Latihan YBGK Siri 1/2026 sebagai usaha memperkukuh kefahaman, keilmuan dan kompetensi peguam syarie khususnya dalam pengendalian kes jenayah syariah di Mahkamah Syariah.

Program sehari yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 6 petang itu diadakan di Hotel Apsara, Temerloh dan disertai oleh 40 orang peguam-peguam syarie yang memenuhi kelayakan dari seluruh negeri ini.

Pengerusi PGSM Pahang, Dr. Hasiah Mat Salleh berkata, penganjuran latihan tersebut begitu signifikan selaras dengan realiti peningkatan dan kompleksiti kes yang ditangani peguam syarie masa kini, khususnya melibatkan aspek jamin, mitigasi dan advokasi jenayah syariah.

“Latihan YBGK ini bukan sekadar latihan teknikal, tetapi satu platform penting dalam memastikan peguam syarie memiliki keilmuan yang mantap dan kompetensi tinggi, khususnya apabila berdepan dengan kes-kes jenayah syariah yang memberi implikasi langsung kepada kebebasan dan hak asasi individu,” katanya di sini.

Menurutnya, PGSM Pahang yang kini memasuki dua tahun tiga bulan penubuhannya komited memperkukuh kesatuan peguam syarie sebagai rakan strategik kepada sistem keadilan syariah di negeri ini, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan profesional, advokasi serta kebajikan peguam.

Beliau turut menjelaskan bahawa perkembangan teknologi dan digital termasuk isu berkaitan kecerdasan buatan (AI) turut memberi cabaran baharu kepada sistem pembuktian, justeru memerlukan kefahaman yang lebih mendalam berasaskan prinsip qarinah, bayyinah dan ilmu qadhi agar keadilan syariah terus terpelihara.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PGSM Pahang, Abdullah Hakim Ahmad berkata, program seperti Latihan YBGK turut berperanan kesejagatan akses kepada keadilan, khususnya bagi golongan B40, di samping membantu memastikan kelangsungan ekonomi dan kebajikan peguam syarie.

“Melalui latihan berkualiti dan pemantapan kompetensi, peguam syarie dapat memberikan khidmat yang lebih berkesan kepada masyarakat, sekali gus memastikan keadilan syariah dapat diakses oleh semua lapisan tanpa menjejaskan kelestarian profesion peguam itu sendiri,” katanya.

Program itu merangkumi sesi latihan berfokus, simulasi perbicaraan dan penilaian bertulis yang bertujuan meningkatkan kecekapan praktikal peserta dalam pengendalian kes jenayah syariah.

PGSM Pahang turut menggalakkan peguam syarie yang belum berdaftar agar menyertai keahlian persatuan itu bagi menikmati manfaat pembangunan profesional dan jaringan sokongan di peringkat negeri dan pusat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN