PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung penubuhan Majlis Eksekutif serta pindaan berkaitan kuasa Majlis Presiden.
Menurut sumber, perkara itu telah dipersetujui dalam pertemuan antara Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Januari lalu.
“Susulan pertemuan tersebut, draf pindaan Perlembagaan PN sepatutnya disediakan oleh Bersatu sebelum diserahkan kepada Pas untuk dibincangkan dan dipersetujui di peringkat parti itu.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN yang didakwa melanggar perlembagaan gabungan berkenaan, selain tidak menjemput Tan Sri Muhyiddin,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut sumber itu lagi, pada peringkat awal, Parti India Muslim Bersatu Malaysia (MIPP) juga tidak dijemput ke mesyuarat berkenaan.
“Keadaan tersebut menimbulkan persoalan mengenai motif Takiyuddin bertindak sedemikian selepas wujud persetujuan antara dua presiden parti utama dalam PN,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan PN dijangka menubuhkan Majlis Presiden sebagai jalan tengah untuk Pas dan Bersatu, sekali gus membuka ruang untuk Muhyiddin terus berperanan dalam gabungan itu selepas ini.
Perkara itu dinyatakan sumber dalaman Bersatu yang memaklumkan kesepakatan berjaya dicapai dalam pertemuan membabitkan pimpinan tertinggi kedua-dua parti sebelum ini.
Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN dan berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Namun berdasarkan perlembagaan parti terbabit, peletakan jawatan itu perlu disahkan oleh majlis tertingginya.
Setakat ini, belum ada sebarang mesyuarat Majlis Tertinggi PN berlangsung di sebalik gesaan dibuat Abdul Hadi. – UTUSAN










