Pinda enakmen ternakan babi selaras titah - Nurul Syazwani

Pinda enakmen ternakan babi selaras titah – Nurul Syazwani

Ladang babi
TIADA lagi ladang babi dibenarkan beroperasi dekat Kampung Ladang Tumbuk, di Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor. - UTUSAN / FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri digesa meminda Enakmen Pengawalan Penternakan babi bagi menghadkan ternakan dan pengeluarannya berdasarkan keperluan masyarakat bukan islam di Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, dasar larangan penggunaan dana atau pelaburan awam juga mesti ditetapkan dalam enakmen tersebut.

“Larangan berkanun terhadap penternakan di mana mana tempat kecuali Bukit Tagar, Hulu Selangor. Had pengeluaran berdasarkan keperluan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja dan larangan mutlak penggunaan dana awam atau pelaburan kerajaan negeri.

“Tanpa pindaan ini, titah Sultan Selangor berisiko menjadi sekadar kenyataan dasar tanpa kekuatan undang-undang dan boleh diputar belit, dilengah-lengahkan atau diketepikan oleh pihak eksekutif,” kataya kepada pemberita, hari ini.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan garis panduan bagi pengoperasian ladang babi di negeri ini dengan menetapkan tiga ketetapan untuk dipatuhi serta dilakukan dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan mematuhi undang-undang.

Ketetapan tersebut iaitu tiada lagi operasi penternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat dan operasi sedia ada hendaklah dipindahkan ke Bukit Tagar, skala pengeluaran hendaklah terhad kepada keperluan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja dan tidak melibatkan eksport serta kerajaan negeri tidak boleh menyalurkan sebarang dana awam atau pelaburan bagi operasi penternakan babi.

Jelas beliau, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mesti dimasukkan dalam pindaan tersebut kerana jika tidak, ia akan mewujudkan jurang serius dengan dasar undang-undang sebagai panduan penguatkuasaan atau pelaksanaan.

“Kesemua ketetapan itu belum terkandung di dalam Enakmen Pengawalan Penternakan Babi (Pindaan) 2010 Negeri Selangor.

“Enakmen sedia ada hanya mengawal aspek teknikal seperti lesen, kebersihan dan operasi, tetapi tidak mengikat kerajaan atau pihak berkuasa tempatan untuk mematuhi zon larangan, had pengeluaran atau larangan dana awam seperti yang dititahkan oleh tuanku (Sultan Selangor,” tegasnya.

Tambahnya, menjunjung titah bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi dengan mendokumentasikannya dalam undang-undang negeri supaya ia mengikat semua pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN