Petronas ke mahkamah isu hak operasi di Sarawak

Petronas ke mahkamah isu hak operasi di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas telah memfailkan notis di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, untuk mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak.

Syarikat minyak nasional itu yang me­labur berbilion ringgit di Sarawak, me­namakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak sebagai res­ponden dalam notis itu.

Petronas berkata, permohonan berke­naan difailkan untuk memastikan me­reka terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik.

“Permohonan tersebut tidak berhasrat untuk mencabar aspirasi pemba­ngunan Sarawak mahupun menghalang peranan yang dimainkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam sektor tenaga di ne­geri tersebut,” kata syarikat itu dalam kenyataan semalam.

Pada Mei tahun lalu, Putrajaya dan Kerajaan Sarawak menandatangani dek­larasi bersama untuk mengakhiri kemelut hak sumber minyak dan gas di negeri itu.

Dalam Deklarasi Bersama yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan isu minyak dan gas Sarawak yang tertangguh berikutan tindakan Ku­ching mahu mengambil alih hak semua berkaitan sektor itu.

Keputusan Sarawak itu dilihat sebagai bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang memberikan hak kepada Petronas untuk beroperasi di seluruh negara dalam membangunkan sektor minyak dan gas negara.

Terdapat rangka kerja yang membolehkan Petronas dan syarikat minyak milik kerajaan negeri, iaitu Petros beroperasi secara bersama tetapi, run­dingan berterusan masih gagal menyelesaikan konflik hak terhadap sumber mineral bernilai berbilion ringgit itu.

Kedua-dua belah pihak dilihat tidak dapat mencapai penyelesaian menyuruh, sekali gus menimbulkan ketidakpastian kepada operasi Petronas yang sudah bertapak di Sarawak sejak tahun 1974.

Pemberian hak sepenuhnya kepada Petros menimbulkan pertelingkahan komersial dan perundangan terhadap undang-undang yang mana terpakai, termasuk kuasa PDA itu sendiri yang memberikan hak kepada Petronas.

Petronas berkata, keputu­san memfailkan notis di Mah­kamah Persekutuan dibuat se­lepas perbincangan serta run­dingan yang berjalan semenjak tahun 2024 bersama Petros serta Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Meskipun terdapat kemajuan yang telah dicapai da­lam rundingan komersial dan perkongsian, termasuklah pe­meteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) pada tahun 2020, tetapi masih terdapat perbezaan pendapat berhubung kerangka kawal selia yang terpakai kepada Petronas.

“Petronas berharap semua pihak akan menghormati proses perundangan serta peranan sistem kehakiman negara dalam meneliti perkara ini,” kata syarikat minyak nasional itu.

Pada masa sama Petronas meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang kenya­taan yang boleh menjejaskan proses perundangan dan memberi ruang kepada Mahkamah Persekutuan membuat penilaian sewajarnya berkenaan usul yang dikemukakan.

Walaupun telah memfailkan notis untuk meminta mahkamah tertinggi di negara ini membuat keputusan, syarikat itu tetap komited untuk melaksanakan operasinya de­ngan telus serta penuh tanggungjawab di Sarawak.

“Seluruh operasi akan terus berjalan seperti biasa,” katanya.

Pertelingkahan membabitkan hak terhadap sumber minyak dan gas di Sarawak juga memberi kesan kepada perjanjian jangka panjang yang ditandatangani Petronas terutama dalam pembekalan gas kepada pembeli luar negara.

Beberapa pihak juga mempersoalkan kenapa Petronas perlu dilesenkan sedangkan syarikat minyak kebangsaaan itu bero­perasi sebagai penyelia dan pe­nguatkuasa di bawah PDA, satu undang-undang Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN