PADANG BESAR: Pesta Angin Timur dan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis antara program ikonik Perlis setiap tahun yang akan membantu mempromosi negara ini bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026).
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, selain dua program besar berkenaan, terdapat banyak lagi aktiviti lain bakal diadakan selain diketengahkan pelbagai lokasi menarik di Perlis bagi membantu mempromosi Malaysia di mata pelancong yang dijangka datang dari seluruh dunia.
Katanya, Perlis juga menyasarkan empat juta pelancong melawat ke negeri ini bersempena TMM 2026 dan Tahun Melawat Perlis yang dilanjutkan pada tahun ini.
Ujar beliau, pada tahun lalu, seramai 3.5 juta pelancong berkunjung ke negeri ini.
“Sempena TMM 2026 dan Tahun Melawat Perlis, banyak program menarik diatur antaranya seperti program ikonik Perlis iaitu Pesta Angin Timur dan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis. Pesta Angin Timur antaranya merupakan aset Perlis yang dianjurkan sejak 13 tahun lalu.
“Ia juga bakal melibatkan penyertaan antarabangsa dengan penganjuran kali ini lebih berskala besar. Pelbagai program lain diadakan juga diperluaskan bersifat antarabangsa.
“Kita akan bantu promosi Malaysia dan diharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dapat menyalurkan lebih peruntukan untuk tujuan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program sambutan di pintu masuk seluruh negara dan di hab pengangkutan utama sempena TMM 2026 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar dan Stesen Kereta Api Padang Besar di sini hari ini.
Abu Bakar berkata, MOTAC menyasarkan sebanyak 43 juta pelancong bersempena TMM 2026 dan diharap ia dapat direalisasikan.
Katanya, keindahan lokasi pelancongan di Perlis dan pelbagai program menarik diadakan diharap dapat membantu menarik kehadiran pelancong sepanjang 2026 bersempena TMM itu.-UTUSAN










