STOCKHOLM: Kerajaan Sweden merancang meneruskan rang undang-undang (RUU) kontroversi yang akan menurunkan had umur tanggungjawab jenayah daripada 15 kepada 13 tahun bagi kesalahan serius, membenarkan hukuman penjara terhadap pesalah bawah umur dalam kes tertentu.
Beberapa pihak berkuasa, termasuk polis, pegawai penjara dan pendakwa raya membantah cadangan tersebut.
Namun, Menteri Kehakiman, Gunnar Strommer menegaskan, langkah itu bukan penurunan menyeluruh terhadap umur tanggungjawab jenayah.
“Ia hanya terpakai kepada jenayah paling berat seperti pembunuhan, cubaan membunuh, pengeboman, kesalahan senjata api serius dan kes rogol yang serius,” katanya pada sidang media kelmarin.
Sweden bergelut selama lebih sedekad bagi mengekang peningkatan jenayah keganasan terancang, terutama melibatkan pergaduhan antara kumpulan dan pertempuran untuk mengawal pasaran dadah.
Kumpulan jenayah kerap merekrut remaja bawah 15 tahun untuk melakukan serangan, memanfaatkan ‘kelebihan’ mereka yang tidak boleh dihukum penjara di bawah undang-undang sedia ada.
Siasatan yang diarahkan oleh kerajaan pada Januari 2025 mencadangkan had umur itu diturunkan kepada 14 tahun.
September lalu, kerajaan Sweden mengumumkan cadangan untuk menurunkan had umur tanggungjawab jenayah kepada 13 tahun, dan menghantar draf rang undang-undang itu kepada 126 pihak berkuasa serta organisasi untuk mendapatkan maklum balas.
Pihak berkuasa polis memberi amaran langkah tersebut berisiko mengheret kanak-kanak yang jauh lebih muda terjerumus dalam rangkaian jenayah terancang.
Beberapa pihak lain pula menegaskan, sistem penjara tidak bersedia untuk mengendalikan pesalah yang terlalu muda, selain bimbang mungkin melanggar hak kanak-kanak.
Meskipun kerajaan mengambil maklum bantahan tersebut, Strommer menegaskan, keadaan kini semakin terdesak dan menjelaskan perubahan itu akan diperkenalkan secara sementara, terhad selama lima tahun pada peringkat awal.- AFP










